KUALA LUMPUR: Ketidakstabilan prestasi pemain perseorangan No.1 negara, Leong Jun Hao sepanjang dua musim terakhir mula menimbulkan persoalan lebih besar apabila pengarah kejurulatihan perseorangan negara, Kenneth Jonassen, tidak menolak kemungkinan pemain itu sudah mencapai tahap maksimum kemampuannya.
Jun Hao menutup musim ini dengan kekecewaan selepas tewas 12-21, 13-21 kepada pemain China, Dong Tian Yao pada pusingan pertama Terbuka Hong Kong, Rabu lalu, sekali gus mengakhiri kempen tahun ini dengan rekod prestasi yang jauh daripada memuaskan.
Jonassen melihat corak turun naik prestasi Jun Hao yang berulang sejak dua tahun lalu sebagai sesuatu yang membimbangkan, terutama apabila pemain ranking ke-31 dunia itu masih belum mampu menampilkan tahap permainan terbaik secara konsisten.
“Mungkin ini adalah potensi terakhir yang mampu dicapainya, mungkin tahap konsistensi dan persembahan terbaik yang kita harapkan sebenarnya berada di luar kemampuannya,” kata Jonassen.
Lebih merisaukan, Jonassen turut menegaskan aspek fizikal Jun Hao perlu ditingkatkan secara ketara jika pemain itu mahu bersaing dengan kelompok terbaik dunia, kerana peningkatan kecil tidak lagi mencukupi untuk mengatasi jurang prestasi.
“Jika tahap fizikalnya tidak meningkat dua atau tiga tahap, tiada peluang untuk bersaing pada tahap ini, peningkatan fizikal itu datang daripada pemain sendiri.
“Kita boleh menyediakan program, tetapi pemain perlu memaksa dirinya, menjalani kehidupan yang betul dan memastikan tahap fizikal itu bukan sahaja meningkat, malah mampu dikekalkan untuk bersaing dengan pemain terbaik, semuanya perlu datang daripada dirinya sendiri,” katanya.
Barisan kejurulatihan kini akan menjalankan penilaian terperinci dalam tempoh dua hingga tiga minggu sebelum berbincang dengan Jun Hao mengenai hala tuju seterusnya, sekali gus mengemukakan cadangan kepada pengurusan kanan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), namun Jonassen menegaskan belum ada keputusan dibuat mengenai masa depan pemain itu. – UTUSAN











