Ekonomi Malaysia 2026 dijangka tumbuh lebih lima peratus - Utusan Malaysia

Ekonomi Malaysia 2026 dijangka tumbuh lebih lima peratus

KDNK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan melebihi lima peratus bagi keseluruhan 2026, disokong prestasi kukuh dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini serta daya tahan permintaan domestik dan sektor berorientasikan eksport.

Pakar ekonomi, Prof. Emeritus Datuk Dr. Barjoyai Bardai berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.5 peratus pada suku ketiga, menjadikan pertumbuhan kumulatif bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini sebanyak 5.6 peratus, mencerminkan asas ekonomi negara yang masih kukuh.

“Pertumbuhan 5.5 peratus pada suku ketiga ini juga menunjukkan daya tahan ekonomi negara walaupun terdapat sedikit penyederhanaan berbanding suku sebelumnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi suku keempat, ekonomi negara dijangka berkembang antara 4.8 peratus hingga 5.3 peratus, sekali gus membolehkan pertumbuhan keseluruhan 2026 kekal melebihi lima peratus.

“Saya melihat ekonomi Malaysia masih berada pada landasan pertumbuhan yang positif,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas faktor yang menyokong pertumbuhan, beliau berkata, sektor perkhidmatan dan pembuatan, pelaburan swasta serta permintaan global terhadap produk berkaitan teknologi, khususnya semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI), dijangka terus menjadi pemacu utama ekonomi.

“Bagaimanapun, risiko geopolitik, perubahan harga tenaga, ketidaktentuan perdagangan antarabangsa dan peningkatan kos sara hidup kekal sebagai cabaran yang perlu diberikan perhatian.

“Malaysia tidak seharusnya terlalu selesa dengan pencapaian kadar pertumbuhan KDNK yang tinggi kerana ukuran sebenar kemajuan ekonomi perlu turut mengambil kira manfaat yang dirasai rakyat.

“Pertumbuhan ekonomi perlu diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan, produktiviti pekerja, peluang perniagaan serta pemilikan kekayaan yang lebih meluas dalam kalangan masyarakat.

“Kita perlu memastikan Malaysia bukan sekadar berkembang sebagai ekonomi yang menarik pelaburan asing, tetapi turut berkembang sebagai ekonomi yang mampu membina kekayaan domestik dan meningkatkan kemakmuran rakyat,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpandangan ekonomi Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan antara 5.3 hingga 5.5 peratus pada 2026, sekali gus mengatasi had atas unjuran rasmi kerajaan sebanyak 5.3 peratus.

“Pencapaian ini dijangka menyaksikan Malaysia mengekalkan pertumbuhan ekonomi melebihi lima peratus untuk tahun ketiga berturut-turut, satu prestasi memberangsangkan ketika ekonomi global terus berdepan ketidaktentuan.

“Malah, momentum pertumbuhan itu meletakkan Malaysia dalam kelompok kecil negara ASEAN yang mampu mengekalkan pertumbuhan melebihi lima peratus selama tiga tahun berturut-turut,” katanya.

Beliau berkata, persoalannya kini bukan lagi mengenai keupayaan negara mencatat pertumbuhan ekonomi kerana prestasi itu sudah dibuktikan, sebaliknya sejauh mana pertumbuhan tersebut memberikan manfaat kepada rakyat.

“Cabaran utama adalah memastikan pertumbuhan ekonomi berkualiti, khususnya dari segi peningkatan pendapatan pekerja dan pewujudan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk graduan.

“Pengagihan manfaat ekonomi yang lebih menyeluruh kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga perlu dan bukan hanya tertumpu kepada syarikat besar dan multinasional sahaja,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini