ISKANDAR PUTERI: Sebanyak 19 pusat data yang beroperasi di negeri ini menerima bekalan air daripada Loji Rawatan Air (LRA) Semangar dan Sungai Johor yang menggunakan sumber air mentah dari Sungai Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, justeru penyusutan empangan di Machap, Lebam, Gunung Pulai 2, Pontian Kechil, Upper Layang dan Lower Layang tidak membekalkan air kepada pusat data seperti dakwaan pihak tidak bertanggungjawab.
Katanya, fakta sebenar diseleweng pihak tidak bertanggungjawab bagi memberi gambaran negatif kepada kerajaan negeri.
“Empangan Machap dan Lebam tidak membekalkan air kepada pusat data yang sedang beroperasi, manakala Empangan Gunung Pulai 2 dan Pontian Kechil membekalkan sebahagian besar bekalan air kepada keperluan pengguna di Pontian.
“Empangan Upper dan Lower Layang pula membekalkan air kepada pengguna domestik serta industri di Pasir Gudang, Plentong, Pandan, Taman Daya dan kawasan sekitarnya,” katanya ketika berucap pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Baharudin Mohamed Taib (BN-Permas); Datuk Pandak Ahmad (BN-Kota Iskandar) dan R. Kumaran (BN-Bukit Batu) berhubung kawal selia penggunaan air dan elektrik domestik, industri serta pusat data.
Justeru, Mohamad Fazli menegaskan, propaganda palsu bertujuan menakutkan rakyat dengan mendakwa penyusutan paras air beberapa empangan di negeri ini berpunca daripada pembinaan dan pengoperasian pusat data perlu dihentikan.
“Minggu lalu saya keluarkan kenyataan berhubung berlaku penyusutan paras air di beberapa empangan akibat kemarau panjang serta kesan Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku sehingga Mac 2027.
“Namun begitu, fakta yang diberikan diseleweng dengan cubaan memberi gambaran seolah-olah penyusutan air di empangan berlaku disebabkan pusat data,” jelasnya. – UTUSAN











