Dron ceroboh latihan United 

Dron ceroboh latihan United 

TANGKAP layar dari akaun Youtube CC Overview memaparkan pemain Manchester United sedang menjalani latihan. - IHSAN DAILY MAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Sesi latihan pertama Mauricio Pochettino bersama Manchester United menjadi perhatian apabila rakaman selama 12 minit yang diambil menerusi dron tersebar di internet menjelang pertemuan dengan Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi Isnin ini.

Rakaman yang diambil di pusat latihan Carrington, kelmarin memaparkan Pochettino bersama barisan kejurulatihannya mengendalikan sesi latihan serta memberikan arahan kepada pemain.

Pengendali berusia 54 tahun itu dibantu pembantu jurulatih, Jesus Perez; jurulatih pasukan utama, Miguel D’Agostino; jurulatih penjaga gol, Toni Jimenez; jurulatih kecergasan, Sebastiano Pochettino serta jurulatih pengkondisian, Silvia Tuya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penyebaran rakaman berkenaan mencetuskan persoalan mengenai tahap keselamatan pusat latihan United, terutama ketika pasukan sedang membuat persiapan menghadapi perlawanan penting menentang Liverpool.

United sebelum ini memasang papan tanda larangan penggunaan dron berhampiran pusat latihan Carrington sejak enam tahun lalu bagi menghalang pihak luar merakam aktiviti pasukan tanpa kebenaran, meskipun kelab itu turut menggunakan teknologi sama untuk merakam sesi latihan sendiri.

Video berkenaan dimuat naik ke YouTube menerusi akaun CC Overview yang mendakwa ruang udara di sekitar Carrington tidak mempunyai sekatan dan penerbangan dron itu mematuhi peraturan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAA).

Sementara itu, Pochettino tiba di Manchester pada Rabu selepas mengendalikan perlawanan terakhirnya bersama pasukan kebangsaan Amerika Syarikat (AS) menentang Haiti di Cincinnati.

Selepas memulakan tugas, Pochettino menegaskan keutamaannya adalah membentuk budaya dan falsafah permainan baharu di United, selain mewujudkan persekitaran yang membolehkan pemain menampilkan kemampuan terbaik.

“Budaya adalah perkara paling penting. Kita perlu membentuk tabiat dan prinsip yang betul bagi mendekatkan pasukan kepada kemenangan dalam setiap perlawanan,” katanya.

Beliau turut mahu pemain diberikan kebebasan untuk menampilkan bakat dan menikmati permainan tanpa dibebani tekanan berlebihan.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini