CINCINNATI: Bekas pengurus Manchester City, Pep Guardiola merupakan calon yang berpotensi untuk mengambil alih tugas selaku jurulatih baharu Amerika Syarikat (AS).
Mauricio Pochettino yang meninggalkan AS untuk mengemudi Manchester United berkata, sekarang adalah waktu paling sesuai untuk Guardiola mengambil alih skuad kebangsaan AS.
Pochettino berkata, dia tidak teragak-agak mengesyorkan Guardiola menerima jawatan itu kerana bola sepak AS kini berada pada landasan tepat dengan sokongan pemain berkualiti serta kemudahan latihan yang semakin baik.
“Inilah masa paling sesuai untuk menyertai Persekutuan Bolasepak AS. Segalanya bergerak ke arah yang betul. Saya akan katakan, terimalah tawaran itu kerana dia akan menemui individu dan pemain yang bagus.
“Pemain juga mampu menyesuaikan diri dengan corak permainannya,” katanya kepada media menjelang perlawanan terakhirnya bersama AS.
Guardiola yang meninggalkan City pada penghujung musim lalu dilaporkan antara calon utama untuk menggantikan Pochettino selepas mengambil keputusan berehat selama setahun.
Pochettino akan membimbing AS buat kali terakhir ketika menentang Haiti dalam aksi timbal balik suku akhir Liga Negara-Negara CONCACAF, sebelum berlepas ke Manchester untuk memulakan tugas sebagai pengurus Manchester United.
AS membawa kelebihan agregat enam gol hasil kemenangan besar pada aksi pertama, sekali gus berada di landasan terbaik untuk mara ke separuh akhir.
Menurut Pochettino, imej bola sepak AS di mata Eropah turut berubah selepas Piala Dunia, sehingga jawatan ketua jurulatih negara itu kini dianggap setaraf peluang mengendalikan kelab gergasi seperti United, Real Madrid dan Barcelona.
Dia turut mengakui menikmati keseimbangan antara tugas dan kehidupan keluarga sepanjang 26 bulan mengendalikan AS, namun merindui intensiti harian bola sepak kelab yang membabitkan sesi latihan, sidang media dan persiapan perlawanan.
Pochettino berkata, dia pernah berkongsi perkara itu dengan Guardiola ketika bertemu di Stadium Yankee pada September lalu, sambil mengakui peluang mengendalikan United membangkitkan semula keinginannya untuk membuktikan kemampuan sebagai jurulatih.
Pochettino dijadual memulakan tugas bersama United menentang Liverpool di Anfield, Ahad ini.- AGENSI











