Pemilikan emas tidak lagi perlukan modal besar - Utusan Malaysia

Pemilikan emas tidak lagi perlukan modal besar

PLATFORM Pos ArRahnu Gold-i membolehkan pelanggan membeli emas mengikut kemampuan masing-masing sebelum mengumpul simpanan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemilikan emas menerusi platform digital dengan modal permulaan serendah RM10 membuka peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk membina aset secara berperingkat, sekali gus memperluas akses terhadap instrumen simpanan itu dalam kalangan masyarakat.

Ketua Pos ArRahnu, Mohamed Zubair Peerpulavar berkata, inisiatif menerusi Pos ArRahnu Gold-i diperkenalkan bagi mengubah persepsi bahawa pemilikan emas memerlukan modal yang besar, khususnya dalam kalangan golongan muda yang belum mempunyai kemampuan membeli emas fizikal.

Menurut beliau, platform berkenaan membolehkan pelanggan membeli emas mengikut kemampuan masing-masing sebelum mengumpul simpanan sehingga mencapai jumlah minimum 0.5 gram untuk ditukarkan kepada emas fizikal.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ujarnya, platform berkenaan membolehkan pelanggan membeli emas mengikut kemampuan masing-masing sebelum mengumpul simpanan sehingga mencapai jumlah minimum 0.5 gram untuk ditukarkan kepada emas fizikal.

Katanya, pelanggan juga mempunyai pilihan untuk menjual semula pegangan emas digital masing-masing sekiranya memerlukan tunai, tertakluk kepada harga emas semasa.
“Dengan pembelian serendah RM10 dan simpanan secara konsisten, pelanggan boleh membina aset untuk jangka masa panjang tanpa perlu mengeluarkan modal yang besar pada peringkat awal.

“Kami mahu menjadikan pemilikan emas lebih mudah dan mampu milik, khususnya kepada golongan B40, M40 serta generasi muda yang sebelum ini mungkin tidak mempunyai kemampuan untuk membeli emas fizikal,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Pos ArRahnu Gold-i merekodkan hampir 20,000 pelanggan berdaftar sejak dilancarkan sehingga Oktober lalu, dengan syarikat menyasarkan seramai 70,000 pelanggan dalam tempoh setahun.

Menurutnya, penawaran tersebut turut mengambil kira perubahan tingkah laku generasi muda yang semakin cenderung menggunakan platform digital bagi menguruskan kewangan dan membina simpanan.

Mengulas mengenai potensi emas sebagai instrumen simpanan jangka panjang, Zubair berkata, peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan mempelbagaikan simpanan turut mendorong minat terhadap pemilikan logam berharga itu.

Katanya, berdasarkan rekod harga emas Malaysia sepanjang 30 tahun, kenaikan purata harga emas dianggarkan antara sembilan hingga 11 peratus setahun, sekali gus menjadikannya antara aset yang mendapat perhatian bagi tujuan penyimpanan nilai dalam jangka panjang.

“Bagaimanapun, keputusan untuk menjual atau menukar pegangan emas kepada bentuk fizikal bergantung kepada keperluan pelanggan serta pergerakan harga pasaran ketika transaksi dilakukan.

“Emas bukan sekadar aset pelaburan, tetapi juga satu alternatif simpanan yang boleh membantu masyarakat membina kekayaan untuk masa hadapan,” katanya.

Dari segi mekanisme pemilikan, beliau berkata, setiap pembelian emas digital pelanggan disokong oleh emas fizikal sebenar yang disimpan di kemudahan penyimpanan selamat Safeguards G4S Malaysia (SG4S) di bawah pengurusan Go Capital Growth Sdn. Bhd. (GCG) selaku pihak kustodian.

Katanya, jumlah pemilikan pelanggan direkodkan dalam akaun digital masing-masing secara masa nyata, membolehkan mereka memantau pegangan serta harga emas semasa menerusi platform berkenaan.

“Emas yang ditawarkan mempunyai ketulenan 24 karat atau 999.9 dan diperakui mengikut piawaian SIRIM, dengan pelanggan mempunyai pilihan untuk menukarkan pegangan digital kepada jongkong emas fizikal dalam beberapa denominasi termasuk 0.5 gram, satu gram, lima gram dan 10 gram serta dinar.

“Bagaimanapun, pelanggan perlu mengambil kira kos tambahan bagi penebusan emas fizikal, termasuk caj pembuatan, insurans, pembungkusan dan penghantaran yang bergantung kepada denominasi serta jumlah penebusan,” katanya.

MOHAMED Zubair Peerpulavar

Dalam pada itu, Zubair berkata, aspek keselamatan transaksi dan ketelusan pemilikan turut menjadi keutamaan bagi memastikan pelanggan mempunyai keyakinan menggunakan platform berkenaan.

“Sistem tersebut dilengkapi proses pengesahan identiti elektronik (eKYC), kawalan kata laluan serta pemberitahuan kepada pelanggan sekiranya terdapat percubaan log masuk yang mencurigakan,” katanya.

Pihaknya turut bekerjasama dengan vendor teknologi bagi memperkukuh sistem keselamatan, termasuk meningkatkan perlindungan tembok keselamatan (firewall) bagi mengawal akses yang mencurigakan.

Mengulas perkembangan seterusnya, beliau berkata, Pos ArRahnu menyasarkan pelancaran aplikasi mudah alih Pos ArRahnu Gold-i pada pertengahan Januari 2027 bagi memudahkan pelanggan mengakses dan menguruskan simpanan emas masing-masing.

“Selain itu, kemudahan gadaian emas secara digital turut dirancang untuk diperkenalkan pada suku ketiga tahun depan, sekali gus memperluas pilihan transaksi kepada pelanggan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada urusan fizikal,” katanya.

Menurutnya, Pos ArRahnu juga akan memanfaatkan rangkaian lebih 600 pejabat pos di seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran dan membantu pelanggan memahami kaedah pembelian emas secara digital.

Pos ArRahnu yang mula beroperasi pada 2012 kini mempunyai kira-kira 65 cawangan di seluruh negara kecuali Sarawak, dengan perniagaan utamanya tertumpu kepada perkhidmatan pembiayaan Islam berasaskan cagaran emas.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai Pos ArRahnu Gold-i dan mendaftar menerusi laman web rasmi https://posarrahnugold.ace2u.com. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini