PADA 1956, di Jalan Othman, Petaling Jaya, sekumpulan anak muda Melayu datang dengan beg pakaian lusuh dan harapan besar. Mereka anak penoreh, nelayan dan petani yang serba kekurangan tetapi mahu mengubah nasib keluarga melalui satu-satunya ‘tangga’ yang ada iaitu pendidikan.
Itulah pelajar pertama Dewan Latehan RIDA yang memulakan titik tolak sejarah pemerkasaan agenda bumiputera di negara ini secara formal selaras fasal 153 dalam perlembagaan negara.
Hari ini, setelah tujuh dekad kemudian, wajah Universiti Teknologi Mara (UiTM) jauh berbeza.
Seluruh sistem UiTM menempatkan 181,341 pelajar di 31 kampus di seluruh negara. Pelajar datang dengan komputer riba, bercakap tentang kecerdasan buatan (AI), syarikat pemula dan mobiliti global ke Korea, Jerman serta pelbagai destinasi antarabangsa.
Pakaian dan bahasanya berbeza tetapi jiwanya tetap sama iaitu jiwa yang mahu membuktikan anak bumiputera juga mampu berjaya.
Inilah yang sering ditekankan dalam aspirasi Agenda TAMU iaitu sebuah gagasan Transformasi Mahasiswa UiTM. Peranan di Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) bukan sekadar menguruskan asrama, aktiviti atau disiplin. Tanggungjawab HEP memastikan jiwa dan amanah hasrat yang melahirkan UiTM sehingga menjadi sebuah institusi keramat bumiputera ini terus hidup segar dalam setiap diri generasi mahasiswa.
Jika dilihat sepanjang sejarahnya seiring perubahan masa, UiTM turut berubah mengikut tuntutan zaman.
Perubahan itu dapat dilihat melalui tiga fasa besar.
Fasa Pertama UiTM sebagai akses: Memberi peluang
Pada era RIDA hingga Institut Teknologi Mara (ITM), cabaran terbesar ialah akses kepada pendidikan formal. Adakah anak Melayu berpeluang belajar?
Peranan menguruskan kebajikan pelajar ketika itu memastikan penyediaan tempat tinggal selesa, bantuan pendidikan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan makanan. Tugas tersirat pula ialah membina keyakinan anak-anak kampung juga layak berada di menara gading.
Graduan fasa ini menjadi antara tenaga penggerak penting ekonomi negara pada era awal selepas kemerdekaan. Sebahagian besar mereka melangkah kepelbagai bidang dalam sektor swasta, termasuk kewangan, perhotelan, komunikasi massa dan perladangan.
Tidak kurang juga yang diterima berkhidmat dalam sektor awam sebagai guru dan pegawai kerajaan. Ini membuktikan akses pendidikan tinggi mampu mengubah trajektori sebuah keluarga.
Fasa Kedua UiTM sebagai pemangkin: Membina kebolehpasaran
Apabila ITM menjadi UiTM pada 1999, tuntutan keperluan semasa juga berubah. Negara memerlukan bukan sekadar graduan berijazah tetapi mampu mempraktikkan ilmu dan kemahiran insaniah di dunia pekerjaan.
Justeru itu peranan pengurusan pelajar berkembang daripada kebajikan kepada pembangunan karakter melalui dan pengupayaan kepimpinan mahasiswa. Ia juga melibatkan pengukuhan pusat kerjaya, pemantapan kokurikulum berkredit serta pemerkasaan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan persatuan.
Kita mahu graduan UiTM bukan sahaja lulus cemerlang dalam peperiksaan tetapi juga bersedia menghadapi temuduga dan dunia pekerjaan.
Usaha ini turut membuahkan hasil melalui pencapaian kebolehpasaran graduan. Berdasarkan data terkini UiTM, kadar Kebolehpasaran Graduan (GE) berada pada 94 peratus dan Kebolehpasaran dalam Pasaran Kerja (GM) masing-masing mencatatkan 94.6 peratus.
Dalam data Kajian Pengesanan Graduan yang dilaporkan UiTM pada 2025 pula, GE merekodkan sebanyak 93.8 peratus, manakala GM mencapai 94.7 peratus. Angka ini membuktikan anak muda yang membina kerjaya, menjadi usahawan dan membawa nama UiTM ke pelbagai sektor.
Fasa Ketiga Hari ini: Membina ketahanan dan karakter
Kini, kita berada dalam fasa yang lebih kompleks. Cabaran mahasiswa bukan lagi sekadar mendapatkan akses kepada pendidikan atau memperoleh pekerjaan.
Sebaliknya, mereka perlu memiliki ketahanan, daya saing dan karakter untuk berdepan dunia yang berubah dengan begitu pantas.
Pelajar hari ini memikul cabaran berbeza daripada generasi RIDA. Hari ini, pelajar berdepan kos sara hidup yang meningkat, tanggungjawab sebagai anak memikul harapan keluarga, keperluan menyesuaikan diri dengan teknologi baharu serta persaingan dalam akademik, kerjaya dan kehidupan sosial.
Justeru, pengurusan mahasiswa hari ini tidak boleh hanya bercakap tentang program sahaja, sebaliknya menyuntik nilai-nilai kemanusiaan. Melalui Agenda TAMU, kita memberi tumpuan kepada tiga pembinaan utama yang akan membentuk graduan UiTM masa hadapan.
GRADUAN BERDAYA TAHAN
Jika dahulu tumpuan ialah menyediakan tempat tinggal dan makanan, hari ini kita turut memastikan mahasiswa mendapat sokongan menghadapi tekanan kehidupan dan menyelesaikan pengajian.
Pusat Kaunseling perlu diperkasakan, jaringan kebajikan mahasiswa diperluaskan, Bank Makanan Siswa diwujudkan dan Inisiatif Zakat Pelajar diperkukuhkan.
Pada 2026, melalui Wakalah Zakat Korporat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sebanyak RM220,000 disalurkan kepada 200 pelajar asnaf fakir dan miskin UiTM Shah Alam bagi membantu melunaskan tunggakan yuran pengajian dan meringankan beban kewangan mereka.
Sebelum itu, pada 2024, melalui Program Iqra’ TH, Lembaga Tabung Haji (TH) menyalurkan RM900,000 kepada 1,523 penuntut diploma dan ijazah daripada keluarga asnaf di UiTM Shah Alam sebagai bantuan sara diri secara sekali bayar.
Ekosistem zakat UiTM sendiri turut berkembang. Pada 2025, Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF) UiTM merekodkan kutipan zakat sebanyak RM17.08 juta, manakala RM8.48 juta diagihkan kepada golongan yang layak.
Pendekatan ini turut diperluas melalui Dapur Siswa Madani dan Menu Kasih Siswa agar kos sara hidup tidak menghalang mahasiswa ke kuliah.
Bagi saya, selagi ada seorang pelajar yang terpaksa ponteng kelas kerana tidak cukup wang tambang, tidak mempunyai makanan atau dibebani tunggakan yuran, selagi itulah kerja HEP belum selesai.
GRADUAN PENCIPTA, BUKAN SEKADAR PENCARI KERJA
Kita tidak mahu kejayaan mahasiswa hanya diukur berdasarkan jumlah graduan yang mendapat pekerjaan.Kita mahu mereka turut berupaya mencipta nilai dan peluang.
Perkembangan ini terbukti apabila mahasiswa UiTM Shah Alam, Amirul Anas Zulkifli, dinobatkan sebagai Tokoh Usahawan Siswa Negara (ATSN) 2026 pada 1 Oktober lalu. Bersama dua rakan, beliau membangunkan Amber Coffee dengan modal sekitar RM15,000 sekali gus bukti kampus mampu menjadi medan mahasiswa mencipta perniagaan, peluang dan masa depan.
Inisiatif Koridor Keusahawanan Mahasiswa Kolej Kediaman di semua kampus di bawah projek TAMU memberi ruang kepada mahasiswa mengasah bakat keusahawanan mereka. Keusahawanan siswa disetiap cawangan, dihidupkan.
Pelajar juga digalakkan memperkenalkan produk melalui platform digital sejak semester pertama serta didedahkan kepada syarikat pemula, ekonomi digital dan pekerjaan baharu.
Semangat berdikari yang pernah menjadi sebahagian daripada jiwa RIDA perlu diterjemahkan dalam konteks realiti zaman sekarang. Mahasiswa bukan sekadar perlu tahu mendapatkan pekerjaan tetapi membina jaringan, menyelesaikan masalah, menghasilkan nilai dan mencipta peluang pekerjaan.
Justeru, kebolehpasaran dan keusahawanan ialah dua sisi usaha melahirkan graduan yang mampu menentukan hala tuju kehidupan sertakerjaya sendiri.
GRADUAN BERJIWA MADANI DAN GLOBAL
Inilah antara keunikan UiTM. Kita melihat mahasiswa yang paginya menjadi imam di masjid kampus, tengah harinya membentangkan kajian dalam bahasa Inggeris di persidangan antarabangsa dan malamnya menjadi sukarelawan?
Inilah graduan yang kita mahu lahirkan. Akar mereka kukuh pada agama, bangsa dan budaya tetapi sayapnya mampu terbang ke pentas global. Mereka mesti mampu bersaing di peringkat antarabangsa tanpa kehilangan nilai dan identiti sendiri.
Justeru itu, akademik, sukan, kesenian, kepimpinan, inovasi dan kesukarelawanan ialah sebahagian daripada komponen pembentukan insan menyeluruh. Disiplin, patriotisme, kreativiti dan seni pula mampu membina keyakinan serta ketahanan diri.
Akhirnya, apa jua fasa yang kita lalui, amanah UiTM tetap satu. Setiap tahun, puluhan ribu anak muda melangkah ke keluarga besar ini. Pada September 2026 sahaja, hampir 40,000 mahasiswa baharu menyertai Minggu Destini Siswa melalui pendekatan yang turut memanfaatkan teknologi digital.
Mereka datang daripada latar berbeza tetapi impiannya sama, mahu belajar, berjaya dan mengubah kehidupan keluarga. -UTUSAN
PROFESOR Dr. Mohd. Sazili Shahibi ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Universiti Teknologi Mara (UiTM).










