MELAKA: Pengambilan pelajar bagi bidang teknologi kuantum di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dijangka bermula tahun depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, persediaan awal termasuk melatih tenaga pengajar akan dilaksanakan terlebih dahulu sebelum pengambilan pelajar dimulakan.
Beliau berkata, pensyarah yang mempunyai latar belakang teknologi maklumat (IT) dan digital akan dikenal pasti untuk mengikuti latihan menerusi program latihan untuk tenaga pengajar (ToT).
Katanya, mereka akan dihantar mengikuti pengajian peringkat sarjana, doktor falsafah (PhD) atau kursus jangka pendek bagi membolehkan kepakaran dalam teknologi kuantum dibangunkan di universiti berkenaan.
“Buka jabatan dulu saya fikir pengambilan untuk semester akan datang lah yang tahun depan.
“Mula-mula latihan tenaga pengajar akan dilaksanakan terlebih dahulu dengan menghantar pensyarah mengikuti pengajian peringkat sarjana, PhD atau kursus jangka pendek supaya mereka yang mempunyai latar belakang IT dan digital dapat menjadi peneraju kepada jabatan serta fakulti teknologi kuantum,” katanya dalam sidang akhbar Program Apa Khabar Siswa (KPT) di Dewan Taming Sari, UiTM Kampus Alor Gajah di sini hari ini.
Sebelum ini, UiTM dicadang mewujudkan jabatan kuantum sebelum berkembang menjadi sebuah fakulti.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan telah menyalurkan dana kepada UiTM bagi merealisasikan penubuhan jabatan teknologi kuantum yang disifatkan sebagai antara teknologi baharu yang perlu diberikan perhatian oleh negara.
Menurutnya, UiTM dipilih kerana mempunyai rangkaian kampus di seluruh negara serta jumlah pelajar yang ramai, sekali gus berpotensi menjadi antara institusi peneraju pembangunan kepakaran teknologi kuantum.
Katanya, usaha itu penting supaya Malaysia tidak hanya menjadi pengguna teknologi, sebaliknya mampu mencipta dan membangunkan teknologi sendiri menerusi penyelidikan serta pembangunan (R&D).
“Kita jangan ketinggalan dalam pembangunan teknologi baharu, terutama dalam penyelidikan dan pembangunan. Saya merasakan teknologi adalah mata wang baharu dan mereka yang berada dalam bidang ini merupakan tenaga serta bakat baharu yang akan melonjakkan teknologi negara.
“Kita seharusnya menjadi pencipta kepada teknologi baharu, bukan sekadar mengambil bahagian dalam perkembangan teknologi,” katanya.
Beliau berharap penubuhan jabatan berkenaan dapat menjadi asas kepada pembangunan ekosistem teknologi kuantum tempatan dan menyediakan negara menghadapi perubahan landskap teknologi global. -UTUSAN











