SHAH ALAM: Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjadi detik bermakna buat graduan perakaunan yang membuktikan kecemerlangan akademik perlu disertai penglibatan kokurikulum dan usaha menambah kelayakan profesional.
Muhammad Izzat Mohammad Radzi, 24, graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian, meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.86, ijazah kelas pertama dan Anugerah Naib Canselor (ANC).
Dia turut mengekalkan Anugerah Dekan setiap semester, selain memegang jawatan Presiden Kelab CPA Australia dan wakil kelas.
“Cabaran paling besar ialah mengurus masa bagi mengimbangi pelajaran, tugasan dan aktiviti kokurikulum,” katanya kepada Utusan Malaysia sempena Istiadat Konvokesyen UiTM, di sini semalam.
Muhammad Izzat merupakan anak kepada Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia, Mohammad Radzi Zain.
Dalam masa sama, Muhammad Izzat bekerja sambilan sebagai barista di Tealive, Busaba dan Gigi Coffee bagi mengisi masa lapang ketika jadual kuliah tidak padat.
“Walaupun sesetengah hari tidak banyak kelas, saya mahu memanfaatkan masa itu daripada duduk di rumah sahaja,” katanya.
Kini, dia bekerja di KPMG PLT selepas menjalani latihan industri di firma itu dan berbaki satu kertas peperiksaan profesional perakaunan.
Sementara itu, Haziq Haidar Marican Mubarak Marican, 24, meraih tiga pengiktirafan, iaitu Graduan Terbaik Program, Graduan Terbaik Fakulti dan Anugerah Naib Canselor (ANC), dengan PNGK 3.61 hasil kecemerlangan akademik serta penglibatan aktif dalam kokurikulum.
Graduan perakaunan UiTM Puncak Alam itu berkata, beliau turut mengambil kelayakan profesional perakaunan bagi menambah nilai selepas tamat pengajian.
“Saya mengambil kelayakan profesional perakaunan kerana ijazah sahaja tidak mencukupi dan perlu ada nilai tambah,” katanya. – UTUSAN











