Kampus ke arena ketenteraan, graduan UMT bukti keupayaan

Daripada kampus ke arena ketenteraan, graduan UMT buktikan keupayaan

Ezzan Nur Husna ketika menyertai Eksesais Suman Warrior yang melibatkan anggota tentera daripada Malaysia, New Zealand, Australia, United Kingdom dan Singapura.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bukan sekadar cemerlang dalam bidang akademik, bakal graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Lt. Muda Ezzan Nur Husna Meor Azrimi, turut membuktikan keupayaan mengaplikasikan ilmu kejuruteraan dalam bidang pertahanan apabila menjadi satu-satunya Pegawai Sukarela Askar Wataniah yang menerima sijil latihan simulasi ketenteraan menggunakan Joint Theater Level Simulation – Global Operations (JTLS-GO).

Ezzan Nur Husna, yang bakal menamatkan pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Elektronik dan Instrumentasi) dengan Kepujian di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan dan Informatik (FTKK), UMT, menerima pengiktirafan tersebut menerusi penyertaannya dalam Exercise SUMAN Warrior, latihan ketenteraan yang membabitkan anggota tentera daripada lima negara, iaitu Malaysia, New Zealand, Australia, United Kingdom dan Singapura.

Pencapaian itu menjadi pengalaman bermakna buat Ezzan Nur Husna apabila berpeluang menyertai latihan bertaraf antarabangsa yang memberikan pendedahan kepada penggunaan sistem simulasi bagi perancangan dan pelaksanaan operasi ketenteraan, termasuk persediaan menghadapi ancaman peperangan siber.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menariknya, latar belakang pengajian dalam bidang kejuruteraan elektronik dan instrumentasi di UMT menjadi kelebihan buat Ezzan Nur Husna untuk memahami pengendalian sistem simulasi berkenaan dengan lebih pantas, khususnya menerusi pengetahuan pengekodan (coding) yang dipelajarinya sepanjang pengajian.

Selain mendalami penggunaan teknologi dalam operasi ketenteraan, dia turut diberikan tanggungjawab mengendalikan anggota tentera daripada New Zealand. Pengalaman tersebut membuka ruang kepadanya untuk mempelajari budaya kerja, pendekatan profesional serta kaedah kerjasama dalam kalangan anggota tentera dari negara berbeza.

Menurut Ezzan Nur Husna, peluang menyertai latihan berkenaan merupakan satu pengalaman yang amat bermakna kerana dapat menguji kemampuan diri dalam persekitaran profesional yang berbeza daripada suasana pembelajaran di universiti.

“Pada mulanya, saya berasa teruja dan pada masa yang sama agak gementar kerana diberi peluang menyertai latihan yang melibatkan anggota tentera daripada beberapa negara. Namun, pengalaman ini banyak mengajar saya untuk lebih yakin, berani mencuba dan cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.

“Saya juga bersyukur kerana ilmu yang dipelajari di UMT, khususnya dalam bidang pengekodan dan teknologi, dapat dimanfaatkan dalam latihan ini.

‘‘Pengalaman tersebut menyedarkan saya bahawa ilmu akademik bukan sekadar untuk peperiksaan atau mendapatkan segulung ijazah, tetapi boleh diaplikasikan dalam pelbagai bidang, termasuk pertahanan dan keselamatan negara,” katanya.

Ezzan Nur Husna berharap pencapaian itu menjadi titik permulaan untuk terus mengembangkan potensi diri, khususnya dalam menggabungkan kepakaran kejuruteraan elektronik dengan bidang ketenteraan.

“Selepas bergraduasi, saya berhasrat untuk meneruskan kerjaya sebagai pegawai tentera dalam bidang kejuruteraan elektronik.

“Pada masa yang sama, saya berharap pencapaian ini dapat menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain berani meneroka bidang yang mencabar dan tidak mengehadkan potensi diri kepada bidang pengajian semata-mata.

Kisah Ezzan Nur Husna membuktikan bahawa penguasaan ilmu akademik, disiplin dan kesediaan mencabar kemampuan diri mampu membuka peluang kepada mahasiswa untuk menyerlah di peringkat antarabangsa.

Pencapaian beliau turut memperlihatkan kepentingan pendidikan tinggi yang bukan sahaja melahirkan graduan berpengetahuan, malah membentuk individu yang berkemahiran, berdaya saing dan bersedia menyumbang kepakaran dalam pelbagai sektor, termasuk pertahanan negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini