Antara cabaran yang sering timbul dalam persekitaran kerja adalah mempertahankan sesuatu amalan hanya kerana amalan tersebut telah lama dilakukan.
Ungkapan seperti “memang daripada dahulu kita buat begini”, “semua orang pun buat perkara yang sama” atau “tidak perlu diubah kerana sudah menjadi kebiasaan” boleh menjadi penghalang kepada penambahbaikan.
Pemikiran sedemikian menyebabkan seseorang sukar menerima perubahan. Sesuatu amalan tidak semestinya betul hanya kerana telah lama dilakukan atau diterima oleh ramai orang.
Prinsip “biasakan yang betul dan betulkan yang biasa ” menuntut warga organisasi mematuhi prosedur, melaksanakan tugas dengan jujur dan membuat keputusan berdasarkan fakta serta kriteria yang jelas. Ia mengingatkan kita supaya tidak mempertahankan tindakan yang salah hanya kerana dilakukan oleh individu berpengaruh, telah menjadi tradisi atau dianggap sebagai amalan yang diterima ramai.
Membiasakan yang betul bermula dengan kesediaan dan keberanian individu untuk melakukan perkara yang sepatutnya bagi meninggalkan kebiasaan yang tidak lagi sesuai atau bertentangan dengan nilai profesional.
Sebagai contoh, sikap datang lewat ke tempat kerja, menangguhkan tugasan, mengabaikan tanggungjawab atau melaksanakan sesuatu tugas sekadar memenuhi syarat tidak seharusnya diterima sebagai perkara biasa.
Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdPC) di bilik darjah, persediaan bahan yang rapi dapat menarik minat murid untuk mengikuti PdPC.
Murid akan sentiasa menunggu-nunggu kehadiran guru kerana keseronokkan pembelajaran yang diberikan. Penggunaan bahan berbentuk visual, audio dan bahan rangsangan dapat menjadikan PdPC bermutu dan menyeronokkan. Aktiviti-aktiviti seperti ini dapat mengelakkan murid tidur di dalam kelas sewaktu PdPC berjalan.
Dalam menyelesaikan isu pencapaian murid atau sekolah. analisis data yang tepat dapat menjawab persoalan yang timbul bukannya berdasarkan persepsi semata-mata.
Contohnya pencapaian murid dalam subjek matematik rendah. Berdasarkan analisis data pencapaian murid, guru melihat topik atau bahagian mana yang masih belum dikuasai oleh murid.
Seterusnya, guru membuat intervensi yang sesuai bagi menyelesaikan masalah tersebut.
“Biasakan yang betul, betulkan yang biasa” bukan sekadar ungkapan motivasi, tetapi prinsip yang perlu diterjemahkan dalam tindakan seharian. Dalam kalangan pendidik, prinsip ini menuntut sikap profesional, kejujuran, disiplin, keadilan dan kesediaan menerima teguran. Dalam organisasi pula, prinsip ini menuntut kepimpinan yang berintegriti, pengurusan yang telus dan budaya kerja yang tidak berkompromi dengan amalan yang menyalahi etika. –UTUSAN
KAMARIAH CHE NGAH
School Improvement Partners Plus (SIP+) Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat











