Menganggap bahasa Arab sebagai satu subjek yang rumit dan sukar dikuasai kini menjadi persepsi lapuk yang perlu dihakis sepenuhnya dalam kalangan pelajar sekolah menengah di negara ini.
Tanggapan stereotaip tersebut berjaya ditangkis menerusi penganjuran Bengkel Kelab bahasa Arab berimpak tinggi yang berlangsung di Sekolah Menengah (SM) Integrasi Tahfiz Ilmuan, Bangi.
Bengkel intensif yang dikendalikan khas oleh Pensyarah Cemerlang bahasa Arab Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Raja Melewar, Dr. Abd. Razak Abu Chik atau lebih dikenali sebagai Dr. Arabic ini merangka pendedahan teknik pembelajaran yang cukup santai, praktikal dan mampan.

Inisiatif pendidikan berterusan itu berjaya memikat penyertaan seramai 80 orang pelajar Tingkatan 4 dan 5 yang berhasrat memantapkan penguasaan bahasa berkenaan secara menyeluruh.
Menerusi sesi perkongsian ilmiahnya, Dr. Arabic menegaskan bahawa bahasa Arab sebenarnya merupakan ‘Bahasa Raja’ yang paling mudah difahami berikutan kelebihannya yang dipilih sendiri oleh Allah SWT sebagai bahasa wahyu al-Quran dan bahasa hadis.
“Sesuatu bahasa yang dipilih oleh Allah SWT mestilah bahasa yang paling mudah, merendah diri (humble) dan mempunyai struktur yang sangat sistematik. Kedudukannya kekal relevan sejak lebih 1,400 tahun lalu iaitu sebelum Al-Quran diturunkan, malah berterusan sehingga kiamat berikutan konsistensinya sebagai bahasa ilmiah,” katanya kepada Utusan Pelajar.
Beliau berkata, kepentingan menguasai bahasa Arab bukan sahaja terletak pada peranannya dalam ibadah harian seperti solat serta bahasa junjungan besar Nabi Muhammad SAW, malah ia bertindak sebagai bahasa ketiga yang sangat strategik buat rakyat Malaysia selepas bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
Di peringkat antarabangsa, bahasa Arab diiktiraf sebagai bahasa rasmi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersama bahasa Inggeris, Perancis, Sepanyol, Rusia dan China, di samping diguna pakai secara rasmi oleh 23 buah negara Arab.
“Bahasa Arab juga mempunyai nilai komersial yang amat tinggi dalam sektor perniagaan antarabangsa, memandangkan tujuh daripadanya merupakan negara kaya merangkumi Arab Saudi, Qatar,
Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Oman dan Iraq,” ujar beliau.

Sebahagian pelajar yang menyertai Bengkel Kelab Bahasa Arab di Sekolah Menengah Integrasi Tahfiz Ilmuwan (SMITI) Bangi baru-baru ini. – utusan/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Menurutnya, berbeza dengan bahasa Inggeris yang menuntut hafalan kosa kata berasingan dalam kuantiti yang besar, bahasa Arab sebaliknya dibina menerusi struktur kata dasar atau akar tiga huruf yang sangat fleksibel untuk dikembangkan.
Menerangkan kaedah pembinaan kosa kata tersebut, beliau menunjukkan bagaimana satu akar kata seperti م-ل-ع (‘-l-m) mampu melahirkan pelbagai variasi kata yang saling berkaitan seperti mu’allim (guru), ‘alim (ilmuwan), ‘ilm (pengetahuan), dan ‘alam (alam).
Beliau turut mengumpamakan teknik membina ayat Arab sama seperti kaedah menyusun pakaian dalam almari iaitu pakaian yang paling tebal diletakkan di bahagian bawah, manakala pakaian yang paling ringan disusun di bahagian atas.
Pendekatan teratur yang sama diaplikasikan dalam menyusun struktur awal bagi topik, bahagian tengah bagi penyampaian maklumat, dan bahagian akhir bagi penegasan dalam ayat bahasa Arab.
Selain aspek penguasaan tata bahasa, Dr. Arabic mendedahkan bahawa kejayaan menyampaikan bahasa Arab secara berkesan sebenarnya bergantung rapat kepada penguasaan komponen komunikasi non-verbal.
Penyelidikan beliau membuktikan bahawa kecekapan komunikasi harian merangkumi 55 peratus bahasa badan (body language), 38 peratus intonasi suara, dan hanya tujuh peratus bergantung kepada penggunaan kata-kata lisan (verbal) semata-mata.
“Sama seperti watak komedi antarabangsa Mr. Bean yang mampu difahami oleh seluruh dunia tanpa dialog kerana kekuatan bahasa badan yang melebihi 50 peratus, pelajar bahasa Arab juga perlu memanfaatkan sepenuhnya ekspresi muka, gerakan tangan dan tona suara semasa berkomunikasi,” jelasnya.
Bagi menterjemahkan teori tersebut ke dalam bentuk praktikal, bengkel berkenaan turut memperkenalkan pendekatan inovatif seperti hantaran di aplikasi TikTok (Satu Hari Satu Ayat) serta integrasi konteks harian.

Berbekalkan pengalaman mengendalikan program di lebih 400 buah sekolah di seluruh Malaysia dan Brunei sejak tahun 2009, penglibatan beliau terbukti berjaya meningkatkan Gred Purata Subjek (GPS) Bahasa Arab secara konsisten di sekolah-sekolah yang terlibat.
Penganjuran bengkel ini ternyata memberikan sinar baharu serta impak positif secara langsung kepada para peserta yang sebelum ini sering berdepan kesukaran untuk menguasai matapelajaran berkenaan.
Bagi pelajar Tingkatan 5, Alisya, 17, dia mengakui sebelum ini sering berasa buntu dan sukar untuk merangka karangan dalam bahasa Arab kerana terikat dengan hafalan tatabahasa yang terlalu kaku.
“Sebelum sertai bengkel ini, saya memang susah hendak tulis karangan kerana kerap ‘sangkut’ apabila hendak bina ayat, tetapi selepas Dr. Arabic ajar teknik menyusun struktur ayat, sekarang saya sudah boleh bina ayat sendiri dengan lancar untuk penulisan karangan,” katanya.
Pandangan sama turut dikongsi oleh seorang lagi peserta, yang hanya mahu dikenali sebagai Hamzah, 17, yang tidak segan mengakui bahawa rekod pencapaian bahasa Arabnya sebelum ini berada pada tahap kurang memuaskan dan kerap gagal.
“Sebelum ini saya asyik gagal dalam ujian bahasa Arab dan rasa takut, namun cara penyampaian Dr. Arabic yang santai dan mengaitkan bahasa badan membuka mata saya bahawa subjek ini tidaklah sesukar yang disangka.
“Harapan saya selepas menyertai bengkel bersama 80 rakan yang lain ini, saya dapat meningkatkan gred markah saya dalam peperiksaan akan datang, sekali gus membuktikan saya juga mampu lulus dengan cemerlang,” katanya.
Melalui maklum balas positif dan impak nyata yang ditunjukkan, program bimbingan berstruktur seperti ini terbukti berupaya menjadi pemangkin transformasi iklim pembelajaran bahasa Arab di sekolah-sekolah seluruh negara.-UTUSAN











