Kes kematian Noorizwan diklasifikasi bawah Seksyen 331 Kanun Keseksaan

Kes kematian Noorizwan diklasifikasi bawah Seksyen 331 Kanun Keseksaan

M. KUMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kes kematian Allahyarham Noorizwan Zulkefly ketika dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras diklasifikasikan di bawah Seksyen 331 Kanun Keseksaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, siasatan kini dijalankan oleh Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Aman.

Katanya, Seksyen 331 Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan dengan sengaja menyebabkan cedera parah bagi memeras pengakuan atau memaksa pemulangan harta.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan turut dikenakan denda.

Beliau berkata, pengklasifikasian kes itu dibuat susulan rakaman percakapan pakar perunding perubatan forensik dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), yang menjalankan bedah siasat terhadap si mati.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kecederaan luaran pada beberapa bahagian tubuh Allahyarham.

“Corak kecederaan berkenaan didapati selaras dengan trauma tumpul dan bukan akibat perbuatan sendiri, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, laporan lengkap bedah siasat bagi mengesahkan punca kematian masih belum diperoleh kerana analisis makmal masih dijalankan.

Sehubungan itu, polis sedang menunggu maklumat lanjut daripada pihak hospital.

Kumar berkata,siasatan juga diteruskan bagi mengenal pasti pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam pengendalian serta pengurusan Allahyarham sepanjang tempoh tahanannya di IPD Cheras, Kuala Lumpur.

“Polis memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional tanpa sebarang usaha melindungi mana-mana pihak (cover-up),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini