Mural kitar semula penutup botol jadi ikon inovasi SM Holy Trinity

Mural kitar semula penutup botol jadi ikon inovasi SM Holy Trinity Tawau

Mural yang menjadi antara tarikan popular bagi mengabadikan gambar kenangan di SM Holy Trinity Tawau termasuk dalam kalangan ibu bapa – IHSAN SMHT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Warga Sekolah Menengah (SM) Holy Trinity Tawau menghasilkan mural berskala besar berasaskan penutup botol plastik sebagai inisiatif inovasi kitar semula yang menggabungkan elemen seni, pendidikan dan kesedaran alam sekitar.

Inovasi berkenaan menggunakan sebanyak 28,560 penutup botol plastik yang dikumpulkan melalui Pertandingan Kempen Kumpul Tutup Botol melibatkan seluruh warga sekolah selama sebulan.

Sasaran awal sebanyak 37,000 penutup botol dirancang bagi membina mural berukuran 28 kaki panjang dan 8 kaki tinggi, sekali gus menjadikannya antara karya mural unik di peringkat sekolah di Sabah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pembinaan mural ini dilaksanakan dalam dua fasa utama iaitu Fasa Pertama bermula 1 November 2022 hingga 9 Januari 2023 selama dua bulan sembilan hari, manakala Fasa Kedua disempurnakan dalam tempoh dua minggu dari 14 hingga 25 Julai 2025.

Menurut Guru Penasihat Projek, Rosni Ruddin, idea penghasilan mural ini tercetus susulan isu lambakan botol plastik akibat penganjuran pelbagai program sekolah.

“Penutup botol plastik jenis HDPE merupakan bahan yang tidak terbiodegrasi dan sering menjadi sisa buangan domestik yang tidak terkawal. Justeru, inovasi ini memberi alternatif baharu dengan memanfaatkan bahan buangan sebagai medium seni yang bernilai,” katanya kepada Utusan Pelajar.

Beliau berkata, projek tersebut unik kerana menggunakan penutup botol sebagai bahan utama mural merupakan keunikan projek ini memandangkan kebiasaannya mural dihasilkan melalui lukisan di dinding atau kanvas, bukan daripada bahan terbuang.

“Selain menyokong kempen cintai alam sekitar oleh kerajaan, mural ini turut memaparkan motif biodiversiti Sabah yang bertujuan memupuk rasa penghargaan terhadap keindahan alam semula jadi negeri ini,” katanya lagi.

Dari segi fungsi, Rosni berkata, mural tersebut bukan sahaja menjadi masterpiece warga SM Holy Trinity, malah berperanan sebagai tarikan utama dawwn lokasi persinggahan apabila sekolah dikunjungi tetamu luar termasuk wakil agensi, individu berkepentingan dan masyarakat umum.

Disamping itu, jelasnya mural itu juga dimanfaatkan sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran (PdP) khususnya bagi subjek yang berkaitan dengan topik kitar semula, kelestarian dan seni visual.

“Impak inovasi ini turut diperluaskan kepada komuniti melalui perkongsian kesedaran alam sekitar menerusi pelbagai platform media sosial termasuk YouTube dan TV sekolah selain saluran Be Happy Channel serta media sosial individu.

“Penglibatan menyeluruh warga sekolah dalam projek ini membuktikan bahawa semangat kerjasama dan kesatuan mampu merealisasikan sesuatu yang luar biasa, sekali gus menjadi inspirasi bahawa tiada yang mustahil apabila matlamat dikongsi bersama,” katanya.

Projek inovasi ini dilihat sebagai contoh terbaik bagaimana institusi pendidikan boleh memainkan peranan aktif dalam memupuk budaya kitar semula, kreativiti dan tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam kalangan generasi muda. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini