SHAH ALAM: Tiada hadiah lebih bermakna buat penyanyi, Shiha Zikir, sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-39, semalam selain melihat ibunya, Rohana Ibrahim, 68, kembali sihat seperti sediakala.
Shiha atau nama sebenarnya Norshiha Mohd Zikir berkata, ibunya mula berdepan dengan masalah kesihatan sejak September lalu dan keadaan itu membuatkan dirinya serta keluarga berasa bimbang.
Berikutan itu, Shiha berkata,dia benar-benar menyimpan harapan agar kesihatan ibunya kembali pulih seperti sedia kala.
Bagaimanapun, Shiha masih belum bersedia berkongsi secara terperinci mengenai penyakit yang dialami ibunya itu, meskipun mengakui perkhabaran daripada doktor sebelum ini memberi kesan besar kepada dirinya dan adik-beradik.
“Setiap kali orang bertanya apa yang saya mahukan untuk sambutan kelahiran termasuk apabila mereka mengirimkan doa melalui mesej peribadi, saya selalu cakap perkara sama. Saya hanya mahu mak kembali sihat seperti biasa. Itulah satu-satunya harapan saya untuk tahun ini.
“Saya juga berdoa supaya Allah menjadikan saya seorang anak dan insan yang mampu membahagiakan orang lain serta diberikan kesempatan untuk menjaga mak selama-lamanya. Kepada semua, saya sangat berharap dapat selitkan doa buat mak supaya dia dapat kembali sihat kerana mak ialah sumber kekuatan utama saya,” katanya.
Shiha berkata demikin ketika ditemui di Sidang Media Pelancaran lagu Teruskanlah oleh artis baharu naungan Shiha Zikir Empire, di sini, hari ini.
Selain itu, kongsi Shiha, dia dan adik-beradik tidak pernah menyangka ibunya akan berdepan ujian kesihatan sedemikian, apatah lagi apabila dimaklumkan mengenai keadaan itu oleh doktor.
Bagaimanapun, penyanyi Minta Ampun itu bersyukur kerana ibunya memiliki semangat yang kuat dan sentiasa menunjukkan sikap positif meskipun berdepan ujian kesihatan.
“Apabila doktor memaklumkan mengenai penyakit mak, memang kami tidak menyangka perkara sebegini boleh berlaku kepada mak sendiri. Apabila menerima keputusan daripada doktor, saya dan adik-beradik memang sangat terkesan.
“Tetapi saya percaya anak-anak dan ibu merupakan sumber kekuatan antara satu sama lain. Mak kuat kerana anak-anak, begitu juga saya yang kuat kerana mak. Sejujurnya, saya mampu bertahan sehingga sekarang kerana mak seorang yang sangat positif.
“Mungkin mak tidak mahu melihat anak-anaknya risau atau bimbang dengan keadaan dirinya. Saya sendiri tidak pasti, tetapi apa yang saya tahu, untuk ulang tahun kelahiran kali ini, saya cuma mahu mak kembali sihat seperti sediakala,” katanya.
Dalam pada itu, Shiha menyifatkan pesanan ibunya supaya terus melakukan perkara yang dirancang dan tidak mengabaikan kebaikan terhadap orang lain sebagai sumber kekuatan untuk dirinya.
Menurutnya, ibunya tidak pernah mahu keadaan kesihatannya menjadi penghalang kepada perjalanan kerjaya dan perancangan hidup anaknya.
“Mak selalu cakap, walaupun keadaannya sekarang begini, saya tidak perlu risau dan boleh teruskan apa yang sudah dirancang. Mak mahu saya teruskan sahaja perjalanan seperti biasa kerana dia baik-baik sahaja.
“Pesanan mak juga mengajar saya supaya terus berbuat baik walaupun kadangkala kita tidak diperlakukan dengan baik oleh orang lain. Saya berjanji untuk menjadi insan yang mampu menyenangkan hati semua orang, membantu sedaya upaya dan menyayangi mereka sebaik mungkin,” katanya.











