Mahasiswa bebas bersuara selagi tidak langgar 3R – Ahmad Zahid

Mahasiswa bebas bersuara selagi tidak langgar 3R – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi bersama Zambry ketika Program Apa Khabar Siswa (KPT) di Dewan Taming Sari, UiTM Alor Gajah, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Golongan mahasiswa bebas menyuarakan pandangan dan perbezaan pegangan politik mereka tanpa perlu bimbang dikenakan tindakan disiplin oleh pihak universiti selagi tidak menyentuh isu agama, kaum dan institusi diraja (3R).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kebebasan bersuara dalam kalangan mahasiswa perlu diraikan dan tidak seharusnya menjadi alasan untuk pihak universiti mengambil tindakan terhadap mereka.

Beliau berkata, pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) tidak bermakna mahasiswa terlepas daripada semua peruntukan undang-undang negara termasuk undang-undang jenayah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau hanya berbeza pendapat dan mereka menyuarakan pendapat anak-anak muda, saya fikir pendapat itu harus diraikan bukan dengan mengambil tindakan perundangan terhadap mereka.

“Kecuali jika mereka terlibat dalam perkara 3R, undang-undang negara cukup jelas. Selain daripada itu, jika berbeza pendapat dan pegangan politik, saya fikir tidak harus diambil sebarang tindakan disiplin oleh pihak universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas Program Apa Khabar Siswa (KPT) di Dewan Taming Sari, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Alor Gajah, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata, kerajaan sedang membincangkan cadangan penggubalan undang-undang baharu bagi menggantikan AUKU yang akan memberi tumpuan kepada aspek pentadbiran dan tadbir urus universiti.

Menurutnya, undang-undang baharu itu tidak lagi menjurus kepada pengawalan aktiviti mahasiswa sebaliknya melibatkan pengurusan akademik, pemilihan ahli senat serta pelantikan tenaga pengurusan universiti.

Katanya, skop perundangan berkenaan turut merangkumi pelantikan naib canselor dan timbalan naib canselor.

“Dalam perbincangan di Kabinet, ada undang-undang baharu dengan nama lain tetapi tidak melibatkan para pelajar, sebaliknya soal pentadbiran universiti dalam bidang akademik, tadbir urus universiti serta pemilihan ahli-ahli senat.

“Ia juga melibatkan pemilihan tenaga pengurusan seperti naib canselor dan timbalan naib canselor,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu akan memberi tumpuan kepada pengurusan institusi pengajian tinggi, termasuk aspek pentadbiran dan pelantikan kepimpinan universiti tanpa menjadikan aktiviti mahasiswa sebagai fokus utama perundangan baharu berkenaan. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini