Kebajikan mahasiswa, masa depan graduan perlu diutamakan

Kebajikan mahasiswa, masa depan graduan perlu diutamakan

AKSES kepada pendidikan berkualiti perlu terus diperkukuh agar setiap mahasiswa mempunyai peluang yang adil untuk mengembangkan potensi tanpa dibatasi latar belakang sosioekonomi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSATUAN Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (Alumni MPPK) melihat pengumuman Belanjawan 2027 sebagai perkembangan positif dalam usaha memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara.

Bagaimanapun, kejayaan setiap inisiatif perlu dinilai bukan sahaja berdasarkan komitmen dan peruntukan yang diumumkan tetapi juga melalui keberkesanan pelaksanaan serta manfaat jangka panjang kepada mahasiswa dan graduan.

Pelaksanaan penangguhan bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada peminjam berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan serta kemudahan bayaran minimum RM50 bagi peminjam berpendapatan antara RM2,501 hingga RM3,000 perlu disokong oleh mekanisme pengesahan pendapatan dan pemantauan berkala yang telus serta tidak membebankan peminjam. Langkah tersebut penting bagi memastikan bantuan benar-benar dimanfaatkan oleh golongan yang layak dan mengelakkan sebarang penyalahgunaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada pandangan kami, prinsip pembayaran balik berdasarkan kemampuan wajar diperkukuh tanpa mengabaikan tanggungjawab peminjam serta kelestarian dana PTPTN.

Keseimbangan ini penting bagi memastikan kebajikan graduan terus terpelihara di samping menjamin peluang pembiayaan pendidikan tinggi kepada generasi mahasiswa akan datang.

Pengumuman kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 mulai Jun 2027 serta pengenalan kerangka gaji minimum RM2,500 bagi pekerja separa mahir dan graduan perlu disokong oleh peluang pekerjaan berkualiti, pembangunan kemahiran, peningkatan produktiviti serta laluan perkembangan kerjaya yang jelas.

Kami berpandangan bahawa cabaran sebenar bukan sekadar meningkatkan gaji permulaan, tetapi memastikan pendapatan graduan berkembang secara mampan dan setimpal dengan kelayakan, kemahiran serta sumbangan mereka kepada ekonomi negara.

Keberkesanan peningkatan bantuan FLYsiswa daripada RM400 kepada RM500, peruntukan RM20 juta bagi inisiatif Dapur Siswa Madani serta pemberian elaun sara hidup RM2,500 kepada pelajar Tingkatan Enam perlu dinilai berdasarkan ketercapaian kepada kumpulan sasaran, kesesuaian dengan keperluan sebenar serta ketelusan mekanisme pengagihan.

Kami percaya bahawa akses kepada pendidikan berkualiti perlu terus diperkukuh agar setiap mahasiswa mempunyai peluang yang adil untuk mengembangkan potensi tanpa dibatasi latar belakang sosioekonomi.

Setiap inisiatif yang diumumkan perlu disusuli dengan garis panduan pelaksanaan yang jelas, penyelarasan antara agensi serta penilaian keberkesanan secara berkala.

Pendekatan berasaskan hasil amat penting bagi memastikan peruntukan awam benar-benar memberikan manfaat kepada kumpulan sasaran, mengurangkan risiko ketirisan dan membolehkan penambahbaikan dasar dilaksanakan berdasarkan keperluan semasa.

Kejayaan sebenar Belanjawan 2027 bukan sekadar diukur melalui jumlah peruntukan atau inisiatif yang diumumkan, tetapi sejauh mana pelaksanaannya mampu memperkukuh kebajikan mahasiswa, meningkatkan keupayaan ekonomi graduan serta membina sistem pendidikan tinggi yang lebih adil, inklusif dan mampan. – UTUSAN

MUHAMMAD AMIR ASYRAF MOHD SABRI
Presiden Persatuan Alumni Majlis Perundingan
Pelajar Kebangsaan (Alumni MPPK)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini