Strategi Semikonduktor Kebangsaan berjaya lahir 22, 849 bakat baharu

Strategi Semikonduktor Kebangsaan berjaya lahir 22, 849 bakat baharu

JOHARI Abdul Ghani
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 22,849 bakat berjaya dilatih di bawah Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) sehingga suku ketiga tahun ini bagi memenuhi keperluan kemahiran dan kepakaran industri itu.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, bagaimanapun usaha berterusan perlu dilakukan bagi memastikan bekalan bakat bukan hanya mencukupi dari segi bilangan, tetapi memenuhi keperluan kemahiran dan kepakaran industri itu yang semakin kompleks

“Kita sedang menyelaras pengumpulan data bersama Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Sumber Manusia, agensi pelaksana, institusi pendidikan dan pihak industri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini bagi memperincikan bilangan bakat ditempatkan mengikut subsektor serta kadar  pengekalan bakar dalam ekosistem tempatan. Latihan dan penempatan pula merangkumi keseluruhan rantaian nilai berteknologi tinggi dengan tumpuan khusus kepada subsektor kritikal seperti rekabentuk litar bersepadu (IC), pembungkusan termaju, fabrikasi wafer, pemasangan dan pengujian cip serta kejuruteraan peralatan dan automasi,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) mengenai status inisiatif melahirkan 60,000 bakat semikonduktor di bawah NSS termasuk jumlah sudah dilatih dan perbelanjaan peruntukan setakat ini.

Dalam pada itu, Johari berkata, pembangunan bakat melalui pendekatan bersepadu, membabitkan peningkatan kemahiran tenaga kerja sedia ada, pengukuhan latihan teknikal dan vokasional serta pemerkasaan kerjasama industri-akademia, dilaksanakan bagi mencapai sasaran ditetapkan NSS.

Beliau berkata, kementeriannya  melalui Collaborative Research in Engineering, Science and Technology (CREST) menyokong pembangunan bakat semikonduktor bagi memperkukuh pelaksanaan NSS menerusi program Engineering Talent for Semiconductor Industry (ETSI).

Selain itu, katanya, program dengan kerjasama strategik Human Resource Development Corporation (HRD Corp), bertujuan membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi memenuhi keperluan industri semikonduktor dan elektrik dan elektronik (E&E), melalui pendekatan pembangunan bakat lebih tersusun, bersasar dan berorientasikan industri.

“KPT juga memperkukuh kerjasama strategik antara universiti dengan industri bagi memastikan kurikulum, latihan dan penyelidikan selaras dengan keperluan sebenar sektor semikonduktor.

 “Antara inisiatif dilaksanakan termasuk program francais Kejuruteraan Elektronik bersama ViTrox, pembangunan silibus ‘Advanced Electronic Packaging’ bersama Intel serta kurikulum Semiconductor Assembly, Test, Marking and Packaging (ATMP) bersama Micron.

“Kesuma menerusi agensi seliaannya menyokong program pembangunan bakat melalui pelbagai program, antaranya HRD Corp membiayai program peningkatan kemahiran, latihan semula dan latihan silang.

 “Bidang latihan termasuk Industry 4.0, Future Technology dan Micro-Credential yang relevan dengan keperluan industri semikonduktor. Pendekatan ini penting bagi meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja serta membolehkan pekerja menyesuaikan kemahiran dengan perkembangan teknologi dan keperluan industri,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini