PETALING JAYA: Empat universiti awam (UA) bergabung membangunkan teknologi kawalan genetik yang mampu menyekat pembiakan ikan bandar raya hingga mengancam ekosistem sungai negara.
Pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia, Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Dr. Johan Ariff Mohtar berkata, penyelidikan teknologi ketidakserasian genetik kejuruteraan (EGI) itu sedang dijalankan menerusi projek konsortium melibatkan empat universiti terbabit, pihak industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan.
Menurutnya, pendekatan itu berpotensi menghasilkan ikan yang diubah suai secara genetik bagi mengurangkan kejayaan pembiakan apabila mengawan dengan ikan liar.
“Bagaimanapun, penyelidikan ini masih memerlukan pembangunan lanjut, termasuk mengenal pasti gen sasaran, menghasilkan embrio untuk penyuntingan gen serta menilai kesan terhadap alam sekitar dan spesies bukan sasaran.
“Proses ini mungkin mengambil masa lima hingga 10 tahun kerana kita perlu menilai kesannya terhadap ikan bandar raya dan alam sekitar terlebih dahulu,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Kelmarin akhbar ini melaporkan, sebanyak 159 tan atau 159,000 kilogram (kg) ikan bandar raya yang menjadi ancaman ekosistem sungai-sungai di negara ini telah ditangkap dan dilupuskan sejak 2022.
Tangkapan tertinggi direkodkan di Sungai Klang apabila empat tan spesies invasif itu berjaya ditangkap hanya dalam tempoh empat jam.
Johan Ariff berkata, penggunaan teknologi itu perlu didahului ujian makmal dan lapangan terkawal bagi memastikan keselamatannya terhadap ekosistem serta spesies bukan sasaran sebelum pelepasan ke perairan semula jadi dipertimbangkan.
Katanya, selain EGI, teknologi pemacu gen turut dikaji sebagai pendekatan kawalan genetik.
“Bagaimanapun, penggunaan teknologi berkenaan perlu mengambil kira risiko ekologi termasuk kemungkinan penyebaran gen yang diubah suai kepada spesies lain yang mempunyai keserasian pembiakan,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat, Universiti Selangor (Unisel), Dr. Intan Faraha A. Ghani berkata, ancaman ikan bandar raya terhadap ekosistem sungai di Lembah Klang adalah serius, khususnya apabila populasinya mendominasi sesuatu kawasan.
Beliau berkata, spesies itu berpotensi mengancam ikan tempatan melalui persaingan mendapatkan makanan dan habitat manakala tabiat menggali lubang untuk membiak berisiko menyebabkan hakisan di tebing sungai.
“Bagi mengesan penyebarannya, penyelidikan di Unisel turut menggunakan kaedah asid deoksiribonukleik (DNA) persekitaran (eDNA) untuk mengesan kehadiran ikan bandar raya di Sungai Langat dan Sungai Merbau, termasuk di lokasi yang sukar dinilai menerusi kaedah tangkapan biasa.
“Bagaimanapun, data bersiri jangka panjang masih diperlukan untuk menentukan perubahan sebenar populasi ikan bandar raya serta kaitannya dengan penurunan jumlah ikan tempatan,” katanya.
Keperluan pemantauan berterusan itu turut ditekankan Pensyarah Kanan Bidang Ekologi dan Penyakit Ikan, Jabatan Biologi, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohammad Noor Amal Azmai yang berkata, jumlah tangkapan ikan bandar raya yang menurun tidak semestinya menunjukkan populasinya turut berkurangan.
Beliau berkata, persampelan pelajar tahun akhir pada 2025 merekodkan jumlah tangkapan ikan bandar raya yang lebih rendah di beberapa sungai atau lokasi berbanding persampelan pada 2019 hingga 2021. – UTUSAN











