Taufan Champi menuju China selepas hentam Taiwan

Taufan Champi menuju China selepas hentam Taiwan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPEI: Taufan Champi yang melanda Taiwan semalam mengorbankan sekurang-kurangnya seorang nyawa dan mencederakan lebih 500 yang lain, selain menyebabkan gangguan bekalan elektrik.

Ribut itu kini bergerak ke utara menuju pesisir China selepas melintasi kawasan berhampiran pantai timur laut Taiwan pada awal pagi Sabtu.

Menurut Pentadbiran Cuaca Pusat Taiwan (CWA), Champi, yang sebelum ini dikategorikan sebagai taufan super dan antara ribut paling kuat di Pasifik tahun ini, masih membawa angin kencang sehingga 126 kilometer sejam (km/j) berhampiran pusatnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

CWA berkata, ribut itu berada kira-kira 150 km di timur Taiwan dan diramalkan membelok ke utara menuju pesisir China sebelum bergerak ke selatan Jepun.

Jabatan Bomba Taiwan mengesahkan jumlah kematian kekal seorang melibatkan seorang lelaki yang dihanyutkan ombak di pulau Liuqiu, manakala 527 lagi cedera akibat angin kencang dan hujan lebat.

Sementara itu, syarikat pembekal elektrik, Taipower, berkata lebih 167,000 kediaman terputus bekalan elektrik akibat taufan tersebut.

Kementerian Pengangkutan pula memaklumkan sebanyak 242 penerbangan dibatalkan, jauh lebih rendah berbanding hampir 1,000 penerbangan kelmarin.

Sebahagian besar kawasan utara dan tengah Taiwan, termasuk Taipei, mengisytiharkan penutupan pejabat dan sekolah untuk hari kedua berturut-turut pada Sabtu.

Taiwan biasanya mempunyai persediaan rapi menghadapi taufan, sekali gus membantu mengurangkan jumlah korban.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini