Status Bersatu dalam PN diketahui hari ini?

Status Bersatu dalam PN diketahui hari ini?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Status Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) dijangka diketahui hari ini selepas satu mesyuarat tergempar diadakan bagi membincangkan kedudukan gabungan itu, termasuk isu perundangan dan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, mesyuarat itu akan melibatkan semua parti komponen terma­suk Bersatu.

Katanya, keputusan mahka­mah yang menangguhkan penggantungan dan pembatalan PN membolehkan gabungan itu kembali menjalankan aktiviti serta mengadakan mesyuarat seperti biasa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebelum ini, notis bertarikh 23 September lalu, mengarahkan semua kegiatan PN digantung kecuali aktiviti berkaitan menjawab tunjuk sebab yang dikemukakan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

“Berdasarkan keputusan mahkamah semalam, PN dibenarkan mengadakan mesyuarat dan menjalankan aktiviti. Dengan adanya perintah pe­nangguhan penggantungan dan pembatalan itu, PN kini boleh melaksanakan tanggungjawab, aktiviti dan mesyuarat seperti biasa,” katanya dalam sidang akhbar selepas program Himpunan dan Munajat Penyatuan Ummah (Himpak) sempena Karnival Rakyat Kelantan 36 Tahun Membangun Bersama Islam (MBI) di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini semalam.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu memberitahu, mesyuarat yang di­jadual berlangsung malam ini di pejabat Pas itu akan membincangkan status PN yang merang­kumi perkembangan kes mah­kamah serta isu berkaitan PRN.

Katanya, kedudukan parti komponen akan turut dibincangkan termasuk Bersatu yang difahamkan sudah memilih kerusi dan menggunakan logo sendiri.

“Perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat sekiranya mereka hadir. Makluman jemputan sudah dibuat, manakala kad jemputan rasmi dijangka dikeluarkan hari ini,” katanya.

Takiyuddin berkata, me­syuar­at itu dikategorikan sebagai mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN yang tidak memerlukan tempoh notis panjang seperti mesyuarat biasa, iaitu tujuh hari, berdasarkan perlembagaan parti.

Sementara itu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mo­ha­med Azmi Ali mengesahkan me­nerima surat jemputan menghadi­ri mesyuarat tergempar itu hari ini yang dihantar oleh Takiyuddin.

Bagaimanapun beliau ­enggan mengulas lanjut mengenai per­ka­ra tersebut dan menyerahkan ke­pada Presidennya, Tan Sri Muh­­yiddin Yassin yang dijangka mengeluarkan kenyataan ber­kai­tan mesyuarat tergempar itu.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa pula ber­kata, adalah sewajarnya isu membabitkan Bersatu dibin­cang­kan secara bersemuka da­lam mesyuarat tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini