Cedera bukan alasan tiada intensiti tinggi - Iraola

Cedera bukan alasan tiada intensiti tinggi – Iraola

Cody Gakpo (kanan) antara pemain yang baru pulih daripada kecederaan semasa tugasan antarabangsa memikul tugas berat menentang Brighton, malam ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIVERPOOL: Pengendali Liverpool, Andoni Iraola enggan mengurangkan intensiti permainan pasukannya meskipun dibelenggu masalah kecederaan menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Brighton di Anfield, malam ini.

Liverpool dijangka kehilangan khidmat Dominik Szoboszlai, Jeremie Frimpong dan Victor Munoz manakala Alexander Isak serta Cody Gakpo baru kembali daripada kecederaan yang dialami ketika tugasan antarabangsa.

Iraola yang sebelum ini mencipta kejayaan menerusi corak permainan berintensiti tinggi ketika mengendalikan Bournemouth, menegaskan The Reds perlu mengekalkan pendekatan agresif bagi menghadapi jadual padat termasuk saingan Eropah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dengan cara permainan yang kami mahukan, anda tidak boleh bermain pada tahap 70 peratus sahaja.

“Saya lebih rela memberikan segalanya selama 60, 65 atau 70 minit sebelum pemain lain mengambil alih, kerana kami perlu bermain dengan intensiti maksimum,” katanya pada sidang media praperlawanan.

Menurut pengendali dari Sepanyol itu, Liverpool perlu berada pada tahap terbaik kerana mereka berdepan pasukan berkualiti yang mampu menghukum sebarang kelemahan.

“Kami mahu percaya bahawa kami cukup bagus untuk bermain pada tahap 70 peratus dan memenangi perlawanan, tetapi hakikatnya bukan begitu. Kami perlu memberikan aksi terbaik,” katanya.

Cabaran Liverpool kali ini bukan mudah apabila Brighton hadir dengan reputasi sebagai pasukan paling tajam di depan gawang liga setakat ini, selepas meledak 23 jaringan dalam tujuh perlawanan.

Liverpool kini ketinggalan empat mata di belakang Brighton yang menduduki tangga ketiga liga, sekali gus menjadikan pertembungan di Anfield itu penting buat tuan rumah untuk merapatkan jurang. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini