MANCHESTER: Pengendali Manchester United, Michael Carrick yakin mampu mengembalikan prestasi pasukannya yang semakin merudum menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Bournemouth di Old Trafford, malam ini
Keyakinan itu hadir ketika kedudukan Carrick semakin terancam susulan kekalahan memalukan 1-4 kepada Como pada aksi Liga Juara-Juara Eropah, Khamis lalu, yang menyaksikan United tanpa kemenangan dalam tujuh perlawanan berturut-turut.
Lebih membimbangkan, United kini menghuni tangga ke-13 EPL selepas mencatat permulaan terburuk sejak era liga itu diperkenalkan, selain tersingkir daripada Piala Liga dan tewas dua daripada tiga aksi awal Liga Juara-Juara Eropah.
Carrick menyifatkan kekalahan kepada Como sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima, sambil menegaskan, pemain perlu kembali menghormati lambang kelab serta memahami tuntutan untuk memburu kemenangan menjelang kunjungan Bournemouth.
“Kami sudah sedikit kehilangan arah, jika saya berterus terang tetapi kami akan mendapatkannya semula. Saya benar-benar yakin kami mampu melakukannya,” katanya pada sidang media praperlawanan, semalam.
Dalam perkembangan berasingan, Carrick mengelak daripada memberikan jawapan jelas mengenai masa depan Bruno Fernandes sebagai kapten selepas pemain tengah Portugal itu secara terbuka mempersoalkan pendekatan taktikal pengurusnya yang disifatkan terlalu pasif ketika menentang Como.
Fernandes bukan satu-satunya individu yang meluahkan rasa tidak puas hati apabila pertahanan Lisandro Martinez turut mengkritik lembaga pengarah kelab itu berhubung kekurangan pelaburan dalam pasaran perpindahan.
“Satu perkara paling penting bagi saya ialah pasukan, skuad dan dinamika dalam bilik persalinan. Semuanya mengenai kelab ini dan saya akan sentiasa melakukan apa yang terbaik untuk Manchester United,” katanya.
Bekas pemain tengah England itu dilantik secara tetap lima bulan lalu selepas kejayaan membimbing United secara sementara pada separuh kedua musim lalu, termasuk membantu kelab itu menamatkan saingan liga di tempat ketiga untuk kembali ke Liga Juara-Juara Eropah selepas tiga tahun.
Bagaimanapun, United hanya mencatat dua kemenangan daripada 11 perlawanan dalam semua pertandingan musim ini, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Carrick. – AGENSI/UTUSAN











