PETALING JAYA: Sebuah agensi khas perlu ditubuhkan kerajaan bagi memantau pembangunan aplikasi digital dan menilai risiko keselamatan sebelum dibangunkan serta digunakan secara meluas rakyat.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia, Siraj Jalil berkata, cadangan tersebut penting bagi memastikan setiap aplikasi mematuhi aspek keselamatan siber, perlindungan data peribadi dan selari dengan perundangan Malaysia.
Katanya, pendekatan berkenaan juga membolehkan kerajaan mengenal pasti ancaman lebih awal, berbanding hanya mengambil tindakan selepas berlaku kebocoran data, penipuan atau insiden yang menjejaskan kepentingan awam.
“Agensi ini perlu berperanan menyelaras penilaian risiko digital, melaksanakan simulasi ancaman berdasarkan unjuran penggunaan aplikasi. Contohnya, aplikasi yang mungkin peringkat awal hanya mempunyai ribuan pengguna mungkin berkembang menjadi platform yang digunakan jutaan rakyat dalam tempoh beberapa tahun.
“Simulasi perlu dilaksanakan bagi menguji keupayaan sistem bagi menghadapi kemungkinan termasuk penyalahgunaan data dan kemungkinan teknologi berkenaan digunakan untuk tujuan menyalahi undang-undang,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak menolak kemungkinan mengharamkan penggunaan Waze selepas negara memiliki alternatif bagi aplikasi navigasi,
Beliau berkata, langkah itu mungkin dilakukan selepas kerajaan membuat kajian menyeluruh mengenai aplikasi navigasi alternatif bagi menggantikan Waze.
Dalam pada itu, Siraj berkata, pengguna perlu bijak memahami terma penggunaan sesebuah aplikasi termasuk Waze bagi memastikan sebarang tindakan dapat diambil sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang.
“Persoalan bidang kuasa undang-undang dan perlindungan data pergerakan pengguna perlu diberikan perhatian serius. Sebagai contoh terma Waze menetapkan undang-undang Israel sebagai undang-undang pentadbir serta mahkamah di daerah Tel Aviv sebagai bidang kuasa eksklusif bagi pertikaian berkaitan perkhidmatannya.
“Maka sudah tentu akan menimbulkan persoalan penting kepada pengguna di negara ini. Sebagai contoh apakah pilihan yang tersedia sekiranya berlaku kebocoran data? Sejauh mana pengguna boleh mendapatkan keadilan apabila kontrak perkhidmatan menetapkan undang-undang dan mahkamah negara lain sebagai rujukan utama bagi pertikaian?” soalnya.-UTUSAN.










