Biometrik berpusat sekat dokumen palsu - MCCA

Biometrik berpusat sekat dokumen palsu – MCCA

SIRAJ JALIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu segera melaksanakan sistem biometrik berpusat yang menggabungkan cap jari, imbasan wajah dan retina bagi menangani isu pemalsuan dokumen serta memperketat kawalan kemasukan warga asing.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, langkah itu penting bagi memperkukuh keselamatan sempadan dan memastikan pengesahan identiti dilakukan secara menyeluruh, bukan hanya bergantung kepada semakan pasport semata-mata.

Katanya, sistem berkenaan berupaya menyekat cubaan menyusup masuk menggunakan dokumen palsu atau identiti samaran berikutan sistem yang ada sekarang masih lagi lemah dan mudah dipintas.

“Dengan wujudnya sistem ini, ia bukan sahaja dapat meningkatkan tahap keselamatan, malah memudahkan dan mempercepat proses pengesahan identiti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini me­laporkan sindiket pemalsuan dokumen mampu meraih keuntungan mencecah jutaan ringgit setahun dengan menghasilkan pasport dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu untuk warga asing.

Kegiatan itu dikesan Jabatan Imigresen Malaysia yang melaporkan bayaran dikenakan sekitar RM100 hingga RM150 bagi setiap pasport palsu, de­ngan kapasiti pengeluaran sehingga 100 pasport sehari.

Siraj berkata, bagi memastikan kaedah berkenaan mampu dijalankan dengan sempurna, pelaksanaan sistem biometrik perlu diselaraskan bersama agensi berkaitan termasuk Imigresen, Jabatan Tenaga Kerja, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan badan perisikan.

Katanya, ini berikutan isu berkaitan pemalsuan dokumen bukan isu jabatan tertentu, sebaliknya turut meliputi kementerian lain, justeru perlu ada perbincangan di peringkat Jemaah Menteri agar ada pelan pelaksanaan rentas agensi.

Siraj turut menyarankan kerajaan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengesan maklumat mencurigakan dan menggunakan teknologi blockchain bagi memastikan dokumen tidak boleh diubah selepas dicipta.

“Blockchain boleh mengesahkan dokumen secara kekal. Sekali data direkod, ia tidak boleh diubah dan ini penting untuk bendung isu pemalsuan dokumen yang makin canggih,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN