Kaji semua Akta 866 tangani kandungan berisiko

Kaji semua Akta 866 tangani kandungan berisiko

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) wajar dikaji semula bagi memastikan ia relevan dan berkesan menangani kandungan digital berisiko terhadap keselamatan awam, khususnya kandungan berbentuk panduan teknikal yang boleh disalah guna.

Ketua Biro Perundangan Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Nazri Yahya berkata, peruntukan sedia ada di bawah Akta 866 menghadkan tindakan penguatkuasaan kerana pihak berkuasa tidak boleh mengarahkan penurunan kandungan secara sewenang-wenangnya kecuali jika kandungan tersebut jelas tergolong sebagai kandungan berbahaya.

Katanya, walaupun terdapat kandungan digital yang berpotensi membawa kemudaratan kepada keselamatan awam, skop kawal selia semasa masih tertumpu kepada kategori tertentu sahaja.

“Pada masa ini, kandungan berbahaya yang dikawal di bawah Akta 866 lebih memfokuskan kepada penipuan, eksploitasi seksual kanak-kanak serta kandungan berunsur hasutan yang boleh mengganggu ketenteraman awam,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, akhbar melaporkan polis menahan dua beradik dan merampas selaras senapang serta dua pucuk pistol buatan sendiri yang dipercayai digunakan untuk mengambil upah mengutip hutang ceti haram dalam satu serbuan.

Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mempelajari selok-belok pembuatan senjata api berkenaan menerusi platform YouTube.

Polis turut merampas dua pucuk pistol tiruan, 27 biji serbuk kaliber, dua kelopak peluru, sebuah motosikal serta tiga telefon bimbit.

Nazri berkata, kandungan berbentuk panduan teknikal yang bersifat dual-use masih berada dalam ruang kelabu dari sudut perundangan kerana ia tidak diklasifikasikan secara jelas sebagai kandungan berbahaya walaupun berpotensi menimbulkan risiko keselamatan.

“Sifat dual-use menjadikan kandungan ini sukar dikawal sepenuhnya kerana ia boleh digunakan untuk tujuan pendidikan, pengetahuan atau inovasi, namun pada masa sama boleh membawa kemudaratan jika dimanfaatkan oleh individu yang mempunyai niat tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, kajian menyeluruh perlu dilaksanakan bagi menilai keperluan memperluaskan kategori kandungan berbahaya yang dikawal di bawah Akta 866.

Katanya, langkah tersebut selaras dengan peruntukan Seksyen 10 Akta 866 yang memberi kuasa kepada Jawatankuasa Keselamatan Siber untuk menambah baik serta memperluas senarai kandungan berbahaya tertakluk kepada kawalan.

Nazri turut menegaskan kerangka perundangan sedia ada perlu sentiasa seiring dengan cabaran keselamatan digital semasa tanpa menjejaskan akses masyarakat kepada maklumat yang sah dan bermanfaat.

Mengenai pembelian bahan melalui platform e-dagang, Nazri berkata, platform hanya boleh dipertanggungjawabkan sekiranya bahan dijual tergolong sebagai bahan terlarang yang melanggar undang-undang Malaysia.

Jika bahan dijual secara berasingan dan tidak diklasifikasikan sebagai terlarang, tiada kesalahan boleh dikenakan ke atas platform berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN