KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menjelaskan sama ada akan mengambil tindakan lanjut terhadap laporan dakwaan percanggahan dokumen dengan pergerakan fizikal kargo petroleum bernilai lebih RM220 juta, kata seorang eksekutif industri maritim.
Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri R. Jeyenderan berkata, pendedahan terbaharu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengenai manipulasi pengisytiharan import wajar mendorong pihak berkuasa meneliti semula perkara yang dibangkitkan dalam laporannya.
“Saya ingin tahu sama ada pendedahan terbaharu Kastam ini akan mendorong SPRM mengambil tindakan lanjut terhadap laporan yang telah dibuat pada 5 Jun lalu,” katanya dalam kenyataan.
Media semalam melaporkan Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Amran Ahmad dipetik berkata, terdapat pengimport yang didakwa memanipulasi dokumen dengan mengisytiharkan nilai, berat dan kuantiti barangan lebih rendah daripada sebenar.
Mereka juga didakwa menggunakan kod tarif tidak tepat bagi mengelak atau mengurangkan bayaran duti import dan cukai, sekali gus berpotensi menyebabkan kerajaan kehilangan hasil jutaan ringgit.
Pada 5 Jun, Jeyenderan melaporkan percanggahan bil buatan dengan pergerakan fizikal kargo petroleum membabitkan dua kargo Atlanta Crude berjumlah 76,954.325 tan metrik, bernilai lebih RM220 juta, yang dipunggah di Pelabuhan Tanjung Langsat, Johor.
Beliau berkata, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah bagaimana pihak berkuasa dapat mengesan pergerakan sebenar kargo selepas ia dimasukkan ke dalam tangki simpanan yang turut mengandungi stok sedia ada.
“Persoalannya, bagaimana kita boleh memastikan jumlah sebenar kargo yang masuk, stok yang sedia ada dalam tangki dan pergerakan produk selepas itu dapat dikenal pasti dengan tepat?
“Ini termasuk proses pencampuran atau pengadunan serta jumlah produk yang akhirnya dikeluarkan atau dipindahkan,” katanya.
Menurutnya, semua rekod berkaitan perlu lengkap, termasuk jumlah kargo yang dipunggah ke setiap tangki, stok sedia ada, pergerakan produk dan keputusan ujian makmal.
“Tanpa rekod yang lengkap, sukar untuk memastikan setiap peringkat pengendalian kargo dapat dijejaki dan disemak,” katanya.
Jeyenderan turut menjelaskan, Maritime Network hanya bertindak sebagai ejen kapal bagi pergerakan kargo berkenaan dan bukan pemilik kargo, pengendali terminal, makmal atau pihak berkuasa Kastam.
“Peranan dan tanggungjawab setiap pihak yang terlibat perlu dikenal pasti dengan jelas supaya tiada kekeliruan mengenai pihak yang bertanggungjawab terhadap pengendalian dan dokumentasi kargo,” katanya.
Beliau berkata, pihak berkuasa juga perlu menjelaskan sama ada pengisytiharan kargo, dokumen sokongan dan pergerakan fizikal produk petroleum mematuhi keperluan Kastam.
“Perkara yang perlu dipastikan ialah sama ada semua pengisytiharan dan dokumen sokongan sepadan dengan pergerakan sebenar produk.
“Pihak berkuasa juga perlu menjelaskan sama ada penggunaan tangki simpanan bersama dan proses pengadunan mempunyai implikasi terhadap pematuhan peraturan atau hasil kerajaan,” katanya.-UTUSAN











