PUTRAJAYA: McDonald’s Malaysia meneruskan komitmennya menunaikan kewajipan zakat korporat berjumlah RM2 juta bagi tahun 2026, menjadikan jumlah keseluruhan zakat yang disalurkan syarikat itu sejak 2017 sebanyak RM16 juta.
Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Sumber Manusia McDonald’s Malaysia, Azhar Darbi berkata, pembayaran zakat tahunan itu mencerminkan komitmen syarikat berkenaan dalam membantu golongan asnaf di seluruh negara.
Menurut beliau, McDonald’s Malaysia secara konsisten telah menunaikan zakat sejak 2017 dengan jumlah pembayaran antara RM2 juta hingga RM3 juta setiap tahun.
“Untuk makluman, hari ini kita membayar zakat sejumlah RM2 juta untuk tahun 2026. Jumlah keseluruhan yang kita sudah bayar sejak 2017 ialah RM16 juta.
“Jadi, kita harap dengan adanya majlis ini, kita dapat memberi manfaat kepada penerima sumbangan iaitu asnaf-asnaf melalui pembayaran zakat korporat McDonald’s Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat Korporat McDonald’s Wilayah Persekutuan dan Sumbangan kepada Asnaf di McDonald’s Pandu Lalu Putrajaya di sini, kelmarin.
Turut hadir, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar dan Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil.
Pada majlis itu, sebanyak RM300,000 daripada sejumlah RM2 juta zakat bagi tahun 2026 diserahkan kepada Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bagi Wilayah Persekutuan.

Pada Julai lalu, McDonald’s Malaysia telah memulakan penyerahan zakat di Kelantan seterusnya menjelajah ke dan negeri-negeri lain termasuk Wilayah Persekutuan yang merupakan lokasi ke-10.
Melalui jelajah itu, McDonald’s Malaysia bekerja sama dengan institusi-institusi zakat untuk menunaikan penyerahan zakat serta menyantuni keluarga asnaf melalui sumbangan Kotak Rezeki yang mengandungi barangan keperluan harian.
Mengulas lanjut, Azhar berkata, pembayaran zakat itu dilaksanakan di semua negeri bagi mendekatkan syarikat dengan golongan penerima, sekali gus memastikan bantuan dapat disampaikan kepada mereka yang layak.
Jelasnya, jumlah zakat yang diperuntukkan bagi setiap negeri pula ditentukan berdasarkan bilangan restoran McDonald’s yang beroperasi di negeri berkenaan.
“Jumlah setiap negeri itu ditentukan mengikut jumlah restoran di negeri tersebut. Jadi, untuk Wilayah Persekutuan contohnya, kita ada 55 restoran dan jumlah zakat yang kita bayar sebanyak RM300,000,” katanya.
Sementara itu, menerusi ucapannya, Ahmad Fauwaz berkata, pembayaran zakat korporat berkenaan diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan asnaf, selain menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh ekonomi umat Islam.
Kata beliau, penyatuan umat Islam menerusi saluran ekonomi merupakan antara pendekatan yang boleh dilaksanakan bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat, termasuk melalui pemilikan dan penglibatan dalam perniagaan.
Beliau turut berharap usaha berkenaan dapat menjadi contoh kepada syarikat lain untuk terus memainkan peranan dalam pembangunan ekonomi umat Islam.
“Dan saya mengharapkan hari ini, RM300,000 daripada RM2 juta zakat yang akan diserahkan kepada Pusat Zakat, dimanfaatkan (sebaiknya).
“Dan ini maknanya McDonald’s perlu lagi bekerja keras, meningkatkan ekonomi umat Islam. (Ini kerana) hampir 18,000 yang bekerja dengan McDonald’s ada daripada orang biasa, ada OKU (orang kurang upaya) serta orang tua dan pendekatan ini perlu ditiru oleh syarikat-syarikat yang lain,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Azmir berkata, sebagai syarikat yang sentiasa dekat dengan komuniti, McDonald’s Malaysia telah menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan sejak 2017.
“Antaranya menyambut hari jadi anak-anak yatim, menyumbang moreh ke masjid dan surau pada bulan Ramadan, menyantuni warga emas di pusat jagaan pada musim perayaan dan lain-lain lagi. Kami
sentiasa aktif menyantuni komuniti daripada semua lapisan masyarakat,” ujarnya.
Bersempena majlis penyerahan zakat itu, McDonald’s Malaysia turut menyediakan 2,800 hidangan percuma kepada komuniti setempat di empat restorannya iaitu McDonald’s Pandu Lalu Putrajaya, McDonald’s Pandu Lalu Setiawangsa, McDonald’s Pandu Lalu Sentul UOA dan McDonald’s Desa Pandan sebagai tanda penghargaan atas sokongan yang berterusan. – UTUSAN











