BNM diminta tetapkan garis panduan pengguguran doktor panel - Utusan Malaysia

BNM diminta tetapkan garis panduan pengguguran doktor panel

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) diminta menetapkan garis panduan jelas bagi mengawal tindakan syarikat insurans menggugurkan doktor pakar daripada panel kemudahan tanpa tunai (cashless) supaya hak pesakit mendapatkan rawatan tidak terjejas.

Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Dr. Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan syarikat insurans mengehadkan kemudahan itu kepada doktor pakar boleh menjejaskan boleh menjejaskan akses dan kelangsungan rawatan pesakit termasuk menyebabkan pembedahan terpaksa dihentikan.

Katanya, terdapat kes pembedahan terpaksa dihentikan kerana doktor yang bertugas tidak mempunyai kemudahan berkenaan sehingga doktor dari hospital lain terpaksa dipanggil.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Persoalannya, apakah kriteria sebenar yang digunakan oleh syarikat insurans untuk mengeluarkan seseorang doktor pakar daripada panel cashless?

“Adakah tindakan ini dibuat berdasarkan prestasi klinikal, isu etika dan profesional, kelemahan dokumentasi atau semata-mata pertimbangan komersial?” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, bekas Perdana Menteri itu berkata, jika tindakan tersebut berasaskan pertimbangan komersial, perlu ada jaminan bahawa doktor tidak diketepikan sewenang-wenangnya tanpa penilaian telus dan adil.

“Menurut Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), dianggarkan sekitar 190 doktor pakar di seluruh negara telah kehilangan kemudahan cashless. Jumlah ini amat membimbangkan kerana akhirnya pesakit turut terjejas dari segi akses dan kelangsungan rawatan.

“Oleh itu, saya ingin meminta BNM menjelaskan sama ada terdapat garis panduan khusus yang mewajibkan syarikat insurans memberikan alasan bertulis, bukti dan hak rayuan sebelum seseorang doktor dikeluarkan daripada panel cashless,” katanya.

Ismail Sabri turut mempersoalkan hak pesakit yang membayar premium insurans setiap bulan sedangkan syarikat insurans seolah-olah mengatur pilihan doktor tanpa mengikut prinsip melindungi hak memilih doktor yang ditekankan Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

“Adakah prinsip ini dipatuhi oleh syarikat insurans dan apakah tindakan BNM setakat ini?,” katanya.

Dalam pada itu, beliau membangkitkan amalan syarikat insurans termasuk AIA dan Prudential yang melaksanakan audit retrospektif terhadap tuntutan yang sudah diluluskan.

“Saya tidak menafikan hak syarikat insurans untuk menjalankan audit, namun proses ini perlu dikawal selia bagi mengelakkan penyalahgunaan khususnya melibatkan akses kepada rekod perubatan pesakit yang bersifat sulit dan sensitif.

“Malah, terdapat hospital yang diminta membayar semula tuntutan dan memberikan diskaun bagi mengelakkan tindakan depanelment, sementara doktor pakar turut kehilangan kemudahan cashless. Adakah BNM mengetahui dan memantau amalan ini?” katanya.

Bagi menambah baik keadaan itu, beliau mencadangkan BNM bersama Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan protokol dan kerangka jelas bagi sekatan panel, surat jaminan serta rawatan berterusan.

Menyentuh perkembangan teknologi perubatan, Ismail Sabri berkata, sistem kod perubatan, borang, proses kelulusan awal (pre-GL) dan kadar bayaran insurans masih belum bergerak seiring kemajuan teknologi termasuk pembedahan robotik.

“Jika sistem sendiri tidak menyediakan pilihan yang tepat, adakah wajar doktor dipersalahkan hanya kerana terdapat kekeliruan dalam pengisian borang?

“Jangan sampai teknologi semakin maju tetapi sistem masih ketinggalan sehingga doktor dan pesakit terpaksa menanggung akibatnya.

“Jadi sebaiknya badan profesional dan industri insurans perlu menyemak kod diagnosis serta prosedur perubatan secara berkala seiring dengan kemajuan teknologi,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini