Lebih RM300,000 untuk komuniti India Bagan Datuk - Utusan Malaysia

Lebih RM300,000 untuk komuniti India Bagan Datuk

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) menyampaikan sumbangan sempena Majlis Santunan Kasih Deepavali 2026 di Kompleks UMNO Bagan Datuk Ahad lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Lebih RM300,000 diperuntukkan bagi membantu kebajikan dan memperkukuh akses pendidikan masyarakat India di Bagan Datuk sempena sambutan Deepavali tahun ini.

Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri, A. Arvend berkata, sumbangan yang disalurkan merangkumi 2,000 bakul makanan kepada keluarga berpendapatan rendah (B40) selain bantuan tunai RM100 setiap seorang kepada 682 pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dengan jumlah keseluruhan RM68,200.

Katanya, sebanyak RM36,000 juga diperuntukkan kepada 12 tadika komuniti India di daerah ini dengan setiap tadika menerima RM3,000.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selain itu, sebanyak 16 SJKT di Bagan Datuk turut menerima sumbangan Smart Board TV bagi membantu meningkatkan kemudahan pembelajaran berasaskan teknologi dan kecerdasan buatan (AI).

“Kemudahan itu diberikan kepada semua sekolah Tamil termasuk sekolah yang mempunyai jumlah murid sedikit,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Santunan Kasih Deepavali 2026 yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Kompleks UMNO Bagan Datuk, di sini Ahad lalu.

Menurut Arvend, bantuan pendidikan berkenaan dilaksanakan dua kali setahun iaitu pada Mac dan setiap kali menjelang Deepavali sejak 2023.

Katanya, usaha itu selaras dengan penekanan terhadap kepentingan pendidikan dalam membantu meningkatkan peluang dan masa depan generasi muda masyarakat India.

“Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid selalu berpesan untuk kita mengutamakan pendidikan kepada masyarakat khususnya orang India dan beliau sendiri memberi komitmen untuk membantu komuniti ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, antara keperluan yang sering dibangkitkan masyarakat India di peringkat akar umbi termasuk bantuan pendidikan, perubatan dan kemudahan asas seperti jalan dan sistem perparitan.

Jelasnya, pihaknya turut mengambil pendekatan turun padang bagi mengenal pasti serta membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk.

“Kalau kita lihat, masyarakat India di peringkat akar umbi tidak minta banyak, mereka hanya mahu bantuan pendidikan dan kewangan contohnya untuk hantar anak ke universiti dan sekiranya memerlukan rawatan di hospital” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini