JERANTUT: Polis menahan seorang guru lelaki bagi membantu siasatan berhubung dakwaan melakukan amang seksual fizikal berulang kali terhadap seorang murid lelaki di sebuah sekolah di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Nor Azman Yusof berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima selepas bapa mangsa yang berusia 42 tahun membuat aduan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut pada pukul 1.40 petang, 27 Oktober lalu.
“Suspek lelaki tempatan berusia 24 tahun dan sudah ditangkap bagi siasatan lanjut. Suspek kini direman sehingga 4 November inj bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792),” katanya di sini hari ini.
Nor Azman berkata, kejadian itu terbongkar selepas mangsa menceritakan perbuatan guru kelasnya tersebut kepada bapanya.
“Mangsa mendakwa kerap dirotan atas alasan kerja sekolah belum siap sebelum dibawa ke stor bilik Makmal Sains. Suspek didakwa mengarahkan mangsa melakukan perlakuan tidak senonoh serta amang seksual fizikal sewaktu berada di bilik berkenaan.
“Bapa mangsa yang terkejut dengan tindakan pendidik terbabit mendesak supaya tindakan undang-undang sekeras-kerasnya diambil. Siasatan lanjut polis masih diteruskan,” katanya. – UTUSAN











