Lima terselamat selepas tiga bulan terapung dengan bot di Lautan Pasifik - Utusan Malaysia

Lima terselamat selepas tiga bulan terapung dengan bot di Lautan Pasifik

LIMA orang terselamat selepas tiga bulan terapung dalam bot menuju ke Pulau Murilo. - Facebook
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TARAWA: Seramai lima individu termasuk dua kanak-kanak berjaya diselamatkan selepas terumbang-ambing selama tiga bulan di Lautan Pasifik apabila bot kecil yang dinaiki mereka dihanyutkan ribut dari laluan asal.

Kumpulan mangsa yang terselamat itu merupakan sebahagian daripada sembilan penumpang yang berlepas dari Pulau Murilo di Micronesia pada lewat Julai lalu untuk perjalanan singkat yang sepatutnya mengambil masa selama sejam ke Pulau Ruo.

Bagaimanapun, bot mereka dilanda ribut kencang yang menyebabkannya tersasar sejauh 5,471 kilometer menuju ke Pulau Fanning di Kiribati sebelum ditemui oleh penduduk tempatan tiga bulan kemudian.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kesemua lima mangsa ditemui selamat pada Ahad dan kini berada di bawah jagaan pihak pengurusan sebuah gereja tempatan bagi pemantauan awal.

Ahli Parlimen Kiribati, Kaotitaake Rakoroa mengesahkan bahawa kumpulan mangsa terbabit telah menerima rawatan awal daripada pegawai perubatan di pulau berkenaan.

Beliau turut menyarankan agar kesemua mangsa dipindahkan dengan kadar segera ke Pulau Kiritimati yang merupakan pusat bandar terdekat bagi mendapatkan rawatan perubatan susulan yang lebih sempurna.

Sebelum ini, Pengawal Pantai Amerika Syarikat (USCG) di Micronesia telah melancarkan operasi pencarian merentasi kawasan seluas 46,300 kilometer sebelum menggantung operasi berkenaan secara rasmi pada 9 Ogos lalu.

Sementara itu, ahli politik Micronesia, Alexander Narruhn meluahkan rasa syukur atas keselamatan lima mangsa berkenaan sambil memohon orang ramai mendoakan nasib empat lagi rakan mereka yang masih belum ditemui.

“Lima daripada sembilan penumpang telah ditemukan selamat dan kami terus berdoa untuk empat lagi rakan mereka,” kata Narruhn dalam satu kenyataan.

Beliau menambah bahawa pihak kepimpinan telah meminta Presiden Micronesia memulakan perbincangan diplomatik bersama Kerajaan Kiribati bagi menguruskan proses membawa pulang kesemua mangsa ke tanah air.

Insiden bot hanyut akibat angin kencang kerap dilaporkan di rantau berkenaan sejak beberapa bulan kebelakangan ini. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini