RIYADH: Syarikat minyak gergasi Arab Saudi, Aramco pada Selasa mengumumkan lonjakan 34.6 peratus keuntungan bersih suku ketiga, ketika perang di Asia Barat terus melonjakkan harga minyak mentah, manakala infrastruktur tenaga kerajaan itu kerap menjadi sasaran serangan.
Pemberontak Houthi di Yaman yang disokong Iran secara berkala menyasarkan kapal tangki minyak, saluran paip, kemudahan penyimpanan dan kilang penapisan minyak Arab Saudi sejak permusuhan kembali tercetus pada Julai, dengan serangan semakin dipergiat dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Kerajaan itu turut berdepan tindakan Houthi dan Iran yang mengganggu lalu lintas perkapalan di Selat Bab al-Mandeb dan Selat Hormuz, sekali gus menyukarkan eksport.
Namun, Aramco tunjang ekonomi Arab Saudi dan antara syarikat paling bernilai di dunia menyaksikan keuntungan melonjak pada suku ketiga, sebahagian besarnya hasil harga minyak yang kekal tinggi.
Syarikat itu berkata, keuntungan bersih mencecah 135.9 bilion riyal (RM145 bilion) pada suku ketiga, berbanding kira-kira 101 bilion riyal (RM108 bilion) dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Keputusan itu diumumkan ketika syarikat tenaga utama di seluruh dunia mencatat peningkatan pendapatan berikutan gangguan bekalan minyak dan gas di Asia Barat, yang melonjakkan margin penapisan dan harga.
Bagaimanapun, ketua Aramco memberi amaran bahawa konflik itu terus memberi tekanan besar terhadap keselamatan tenaga.
“Ketidaktentuan geopolitik dan serangan terhadap kemudahan tenaga utama terus memburukkan krisis bekalan tenaga global pada suku ketiga 2026, dengan implikasi serius terhadap keselamatan tenaga global,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Amin H. Nasser dalam satu kenyataan.
Perang di Asia Barat yang bermula pada 28 Februari dengan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran telah menggemparkan pasaran tenaga global, mendorong pengeluaran besar-besaran rizab strategik dan mencetuskan inflasi.
Bulan lalu, Houthi berkata mereka menyasarkan ibu pejabat Aramco, sebuah kompleks besar yang terdiri daripada banyak bangunan dan kawasan kediaman di timur kerajaan itu.
Pegawai Arab Saudi berkata sebuah bangunan terkena serangan di kawasan menempatkan pusat operasi Aramco, manakala dua pekerja syarikat yang bercakap kepada AFP dengan syarat tidak mahu identiti mereka didedahkan berkata, sebuah menara di ibu pejabat itu turut terkena serangan. – AFP











