KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbangkan pemberian insentif bagi pembelian kenderaan elektrik (EV) mampu milik serta bantuan berkaitan kemudahan pengecasan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, galakan kepada EV pemasangan tempatan dan peluasan infrastruktur pengecasan awam turut dipertimbangkan supaya penggunaan kenderaan itu dapat dinikmati lebih ramai rakyat.
Katanya, pendekatan kerajaan bukan hanya tertumpu kepada harga pembelian kenderaan, sebaliknya turut mengambil kira keseluruhan kos pemilikan dan penggunaan EV.
“Sekiranya insentif baharu diperkenalkan, ia perlu bersifat bersasar, memberi manfaat kepada rakyat yang memerlukan, menyokong industri EV tempatan dan mempunyai impak sebenar terhadap pengurangan kos pengangkutan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) berhubung cadangan insentif atau subsidi bersasar kepada pemilik EV serta bentuk bantuan yang dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027.
Mengulas lanjut, Loke Siew Fook berkata, subsidi bersasar RON95 bertujuan menyalurkan bantuan bahan api kepada rakyat yang layak dan merupakan instrumen dasar berbeza daripada galakan penggunaan EV.
Katanya, dasar EV dilaksanakan melalui insentif percukaian, pembangunan industri tempatan dan penyediaan infrastruktur pengecasan dengan sokongan sedia ada turut merangkumi insentif kepada pemasangan serta pengeluaran EV tempatan.
“Pada masa ini, kerajaan menyediakan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 bagi perbelanjaan berkaitan kemudahan pengecasan EV di kediaman sehingga Tahun Taksiran 2027.
“Kerajaan juga sebelum ini telah melaksanakan pendekatan bantuan bersasar bagi motosikal elektrik melalui Skim MARiiCas, yang menawarkan rebat sehingga RM2,400 kepada individu yang memenuhi syarat kelayakan,” katanya. -UTUSAN











