JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga Rohingya yang cuba melarikan diri namun gagal ketika operasi penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor antara 1,346 pemandu warganegara asing yang ditahan atas pelbagai kesalahan.
Pengarah JPJ Johor, Zulkarnain Yasin berkata, operasi yang dijalankan bermula 1 Jun lalu hingga hari ini di seluruh negeri turut merekodkan 4,565 kesalahan berkaitan pematuhan undang-undang jalan raya.
Menurut beliau, operasi bersepadu itu dijalankan secara strategik di lokasi-lokasi tumpuan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan juga pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Majoriti daripada 1,346 pesalah yang dikesan terdiri daripada warga Pakistan seramai 447 orang, diikuti Bangladesh (251 orang), Singapura (223 orang); Indonesia (180 orang) serta Myanmar (150 orang.
“Antara kesalahan terbanyak dilakukan adalah tiada lesen memandu yang sah, tiada cukai jalan, insuran tamat tempoh, tidak memakai tali pinggang, tidak memakai topi keleder dan tidak mematuhi lampu isyarat,” katanya dalam sidang akhbar sempena Operasi Khas Gempur Pemandu Warga Asing (PeWA), di Ibu Pejabat JPJ Johor, di sini hari ini.
Tambah Zulkarnain, sepanjang tempoh operasi, sebanyak 347 motosikal telah disita, diikuti 69 kereta dengan 75 peratus daripada kenderaan itu dimiliki oleh individu warga asing berkenaan.
“Kita dapati majoriti kenderaan ini dimiliki secara pemilikan tangan atas tangan, bermakna selepas pemilik terdahulu pulang ke negara asal, mereka menjual kepada warga asing lain dan begitu seterusnya.
“Ini menyebabkan tindakan sukar diambil terhadap pemilik asal kerana kenderaan itu telah bertukar milik beberapa kali sebelum akhirnya disita. Sebahagian pesalah warga asing ini juga merupakan pesalah berulang dan bekerja sebagai buruh kontrak, pekerja kilang, potong rumput dan pekerja pembersihan,” katanya.-UTUSAN











