PERKEMBANGAN ekonomi digital mengubah cara pengguna mendapatkan barangan dan perkhidmatan. Kini, internet, televisyen berbayar, aplikasi hiburan, perisian komputer serta pelbagai keahlian ditawarkan menerusi sistem langganan.
Proses pendaftaran pula semakin mudah, hanya memerlukan beberapa langkah dalam talian. Namun, kemudahan itu sering tidak dinikmati apabila pelanggan mahu menamatkan perkhidmatan.
Sesetengah penyedia mewajibkan pelanggan menghubungi pusat khidmat, menghantar e-mel, mengisi borang atau hadir ke cawangan. Ada juga yang mengambil masa beberapa hari untuk mengesahkan pembatalan, sedangkan langganan boleh diaktifkan dalam beberapa minit.
Prosedur sedemikian membebankan pengguna dari segi masa, tenaga dan kos. Lebih merugikan, mereka mungkin terus dikenakan bayaran bagi perkhidmatan yang tidak lagi diperlukan. Kesukaran untuk berhenti melanggan turut menyekat kebebasan pelanggan memilih penyedia lain, sekali gus menjejaskan persaingan pasaran.
Dari perspektif muamalat Islam, urusan perniagaan perlu berlandaskan kerelaan bersama (al-taradi), keadilan dan ketelusan. Syarat berkaitan pembatalan, caj penamatan serta pembaharuan automatik mesti diterangkan dengan jelas sebelum persetujuan dibuat.
Ketidakjelasan dalam perkara asas kontrak boleh menimbulkan unsur gharar dan pertikaian. Walaupun perjanjian yang dipersetujui perlu dihormati, pelaksanaannya tidak boleh membebankan sebelah pihak.
Beberapa negara telah mengambil langkah memperkukuh perlindungan ini. Jerman mewajibkan penyedia tertentu menyediakan butang pembatalan langganan dalam talian sejak Julai 2022.
California pula memperketat undang-undang pembaharuan automatik pada Julai 2025, manakala United Kingdom memperkenalkan kerangka melalui Digital Markets, Competition and Consumers Act 2024 dengan peraturan khusus dijangka berkuat kuasa pada 2027.
Malaysia juga perlu meneliti pendekatan berkenaan. Walaupun Akta Perlindungan Pengguna 1999 telah menyediakan asas perlindungan, peruntukan khusus mengenai hak membatalkan langganan wajar dipertimbangkan.
Prinsipnya mudah: proses pembatalan hendaklah semudah pendaftaran. Jika pelanggan boleh melanggan melalui aplikasi atau laman web, saluran sama perlu disediakan untuk menamatkan perkhidmatan. Syarikat juga mesti menjelaskan tempoh kontrak, pembaharuan automatik, caj berkaitan dan tarikh kuat kuasa pembatalan.
Ahli Parlimen perlu memberi perhatian terhadap isu ini dan membahaskannya bagi menilai keperluan kerangka perundangan yang lebih jelas. Kemajuan ekonomi digital bukan sekadar diukur melalui kemudahan membeli dan melanggan, tetapi juga keupayaan pengguna mengawal perbelanjaan serta menamatkan perkhidmatan tanpa halangan tidak munasabah.-UTUSAN
MOHAMAD ISA ABD. JALIL
Fakulti Ekonomi, Perniagaan dan Ekonomi,
Universiti Malaysia Sabah (UMS)











