IPOH: Motif Bunga Kelumpang yang sekian lama menghiasi seni ukiran pintu masuk Balairung Seri Istana Iskandariah di Kuala Kangsar kini diangkat sebagai identiti rasmi Batik Perak.
Identiti batik negeri itu diperkenalkan secara rasmi menerusi majlis pelancaran yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini semalam.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad Saarani berkata, keindahan Bunga Kelumpang yang sebelum ini diabadikan dalam seni ukiran istana kini diterjemahkan pula pada sehelai kain bagi menghubungkan warisan Kesultanan Perak dengan seni tekstil tempatan.
Beliau berkata, Bunga Kelumpang Jari atau nama saintifiknya Sterculia foetida mempunyai keunikan tersendiri menerusi bentuk daunnya yang menyerupai jari, bunga berwarna hijau keunguan dan susunan buah yang menyerupai bintang.
Katanya, selain menghiasi ukiran pintu masuk Balairung Seri Istana Iskandariah, motif berkenaan turut menghiasi persekitaran Galeri Sultan Azlan Shah yang dahulunya dikenali sebagai Istana Ulu dan pernah menjadi tempat persemayaman tiga Sultan Perak.
“Kehalusan seni ukiran dan pertukangan yang menghiasi istana sejak zaman berzaman memperlihatkan kebijaksanaan dan cita rasa masyarakat terdahulu.
“Daripada ukiran yang menghiasi istana, kini keindahan Bunga Kelumpang diterjemahkan pula pada sehelai kain, seakan menyambung sebuah kisah lama dalam karya baharu agar peninggalan seni berharga terus dikenali dan dihargai generasi akan datang,” katanya.
Saarani berkata, usaha mengangkat motif itu dirintis Kraftangan Malaysia Cawangan Perak sejak Februari 2023 apabila cadangan pembangunannya dikemukakan kepada Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.) untuk diperluaskan dalam pelbagai hasil kraf termasuk batik, tekatan benang emas dan seramik.
Katanya, pada Ogos 2024, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bersetuju mengangkat Bunga Kelumpang sebagai identiti rasmi Batik Perak, selain memperkenalkan inovasi penggunaan tanah liat dalam proses penghasilannya.
“Perkembangan itu turut disusuli usaha melindungi kedua-dua elemen berkenaan menerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi memastikan keaslian identiti yang dibangunkan terus terpelihara.
“Dalam memperkukuh identiti Batik Perak, permohonan pendaftaran hak cipta di bawah Akta Hak Cipta 1987 bagi rekaan corak Motif Negeri Perak, Batik Kelumpang yang dikemukakan pada 16 April 2025 telah diluluskan pada 19 Mei tahun sama,” katanya.-UTUSAN











