Star City mahu curi mata di Hang Jebat

Star City mahu curi mata di Hang Jebat

STAR City FC kini berada di tangga ke-10 liga dengan lima mata manakala Melaka di carta keenam dengan sembilan mata. - IHSAN STAR CITY FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Star City FC memburu kemenangan ketika bertandang ke Stadium Hang Jebat bagi menentang Melaka FC dalam aksi Liga Super malam ini, demi memperbaiki kedudukan dalam carta liga.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Star City FC, Datuk Syed Mahadi Syed Hassan berkata, tiga mata penuh amat penting bagi memastikan pasukannya terus bersaing dalam kelompok terbaik Liga Super musim ini.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pemain supaya tidak terlalu yakin atau memandang mudah cabaran Melaka FC, terutama ketika beraksi di gelanggang lawan yang menuntut tumpuan sepanjang perlawanan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, sebarang kesilapan kecil berpotensi menggagalkan misi pasukan untuk meraih mata berharga, sekali gus menjejaskan usaha mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Paling penting, perlawanan ini kita perlu dapat mata penuh untuk meningkatkan kedudukan liga dan berada dalam kelompok terbaik, kesilapan kecil boleh mengakibatkan kita berputih mata.

“Saya sudah berpesan kepada pemain supaya fokus kepada perlawanan ini, jangan terlalu yakin dan jangan mudah mengalah, terlalu yakin akhirnya boleh memakan diri, sepanjang 90 minit itu, pemain perlu memberikan perhatian sebaik mungkin,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Mahadi turut menaruh kepercayaan terhadap barisan kejurulatihan yang diketuai Mehmet Durakovic untuk memastikan Star City tampil dengan persiapan terbaik menghadapi pertembungan berkenaan.

Katanya, meskipun saingan Liga Super berehat sepanjang jendela antarabangsa November ini, latihan pasukan tetap diteruskan bagi memastikan momentum pemain tidak terjejas.

“Kita beri kepercayaan penuh kepada barisan kejurulatihan, terutama Mehmet Durakovic, dalam tempoh jendela antarabangsa yang menyaksikan liga berehat, kita hanya berehat daripada jadual perlawanan, tetapi latihan berjalan seperti biasa.

“Kita juga mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan di Utara, kita tidak duduk diam dan terus memastikan pemain mendapat persiapan secukupnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini