KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memastikan kesemua 420,898 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seluruh negara termasuk di 94 sekolah berisiko banjir, boleh menduduki peperiksaan itu menjelang peperiksaan bertulis bermula Isnin ini.
Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) Kementerian Pendidikan, Mohd. Hanafi Samad berkata, pihaknya turut mengenal pasti calon yang tinggal di kawasan berisiko termasuk mereka yang mungkin berdepan masalah akses ke pusat peperiksaan sekiranya laluan terputus atau kediaman dinaiki air.
Katanya, sejumlah 141 sekolah yang mempunyai kemudahan asrama turut dikenal pasti untuk dijadikan lokasi penempatan sementara calon yang berisiko terjejas banjir, khususnya bagi mengelakkan mereka terkandas akibat laluan terputus.
Jelasnya, pemetaan risiko banjir telah dilaksanakan menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dengan mengambil kira lokasi sekolah, pusat peperiksaan serta laluan perhubungan ke pusat berkenaan.
“Pemetaan itu turut meliputi kawasan yang lazim dilanda banjir dan lokasi baharu yang berkemungkinan terjejas akibat perubahan keadaan cuaca yang menyebabkan sekolah berisiko banjir pada November ini.
“Bagaimanapun, jumlah keseluruhan calon yang dijangka terjejas akibat banjir masih dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd. Hanafi berkata, penempatan sementara calon terjejas banjir di asrama dilaksanakan berdasarkan keperluan setempat, kapasiti asrama dan jarak dengan pusat peperiksaan, selain melibatkan perbincangan bersama ibu bapa serta penjaga sebelum dilaksanakan.
Katanya, kos makanan sepanjang tempoh penempatan sementara itu akan ditanggung sepenuhnya oleh KPM bagi memastikan calon dapat membuat persediaan dan hadir ke pusat peperiksaan dalam keadaan selamat serta selesa.
“Bagi memastikan pergerakan calon berjalan lancar, KPM turut melaksanakan Operasi Payung menerusi kerjasama bersepadu dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana.
“Ia melibatkan Agensi Pengurusan Bencana Negara, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya.
Jelasnya, antara langkah yang dilaksanakan termasuk mengenal pasti lebih awal lokasi kediaman calon, laluan perjalanan serta kawasan berisiko dinaiki air atau terputus hubungan.
Selain itu, penempatan sementara ditawarkan di asrama sekolah berhampiran pusat peperiksaan.
Bagi calon yang kekal di kediaman masing-masing atau berada di kawasan terjejas, katanya, JPN dan PPD menyelaraskan bantuan pengangkutan bersama agensi keselamatan dan penyelamat dengan menyediakan kenderaan bersesuaian mengikut keadaan serta tahap risiko laluan.
“Bantuan pergerakan turut membabitkan PDRM, APM, ATM dan JBPM termasuk penggunaan kenderaan atau aset penyelamat yang bersesuaian berdasarkan penilaian keselamatan di lokasi, manakala perkembangan situasi dipantau menerusi Bilik Gerakan Banjir KPM, JPN dan PPD.
“Sekiranya pusat peperiksaan asal tidak dapat beroperasi atau tidak boleh diakses, calon akan diuruskan untuk menduduki peperiksaan di pusat peperiksaan alternatif yang telah dikenal pasti, tertakluk kepada penyelarasan Lembaga Peperiksaan,” katanya.
Beliau menegaskan, keselamatan calon menjadi keutamaan dan tiada calon boleh dipaksa meredah arus deras atau menggunakan laluan yang boleh membahayakan, sebaliknya sebarang pergerakan perlu mengambil kira penilaian keselamatan serta arahan pihak berkuasa.
Pelaksanaan semua langkah itu adalah selaras dengan pendekatan Operasi Payung KPM dan garis panduan pengurusan peperiksaan awam dalam situasi banjir.











