Geohan raih empat kontrak bernilai RM119.9 juta

Geohan raih empat kontrak bernilai RM119.9 juta

GEOHAN Corporation Berhad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Geohan Corporation Berhad memperoleh empat kontrak baharu bernilai RM119.9 juta daripada kumpulan UEM Sunrise, Paramount dan Mah Sing bagi melaksanakan kerja kejuruteraan asas dan substruktur untuk projek pembangunan di Malaysia.

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, kontrak berkenaan diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, Geohan Sdn. Bhd., melibatkan kerja cerucuk dan substruktur bagi beberapa projek pembangunan.

“Kontrak daripada anak syarikat UEM Sunrise Group membabitkan kerja cerucuk dan substruktur bagi projek pembangunan bercampur.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sementara itu, kontrak daripada anak syarikat Paramount Group melibatkan kerja cerucuk dan kepala cerucuk bagi pembangunan pangsapuri servis The Ashbourne,” katanya. 

Dua lagi kontrak daripada anak syarikat Mah Sing Group merangkumi kerja asas kaison dan cerucuk bagi projek M Amaya, serta kerja pembersihan tapak, kerja tanah, cerucuk dan substruktur bagi projek M Mira.

Perolehan terbaharu itu meningkatkan jumlah kemenangan kontrak Geohan sejak awal tahun kepada RM399 juta.

Selain itu, nilai buku pesanan tertunggak kumpulan berjumlah RM467.9 juta selepas mengambil kira hasil yang telah diiktiraf secara berperingkat daripada projek sedang berjalan.

Geohan berkata, buku pesanan itu merangkumi projek infrastruktur, kediaman dan pembangunan bercampur di seluruh Malaysia, sekali gus menyediakan keterlihatan pendapatan sehingga 2028.

Pengarah Urusan Geohan, Lee Kim Seng berkata, penambahan kontrak itu menunjukkan kedudukan pengisian semula buku pesanan kumpulan berada pada landasan yang dirancang bagi menyokong pendapatan masa hadapan.

“Kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada kecemerlangan operasi dan memastikan setiap komitmen projek dilaksanakan mengikut standard ditetapkan meskipun berdepan cabaran makroekonomi,” katanya. 

Dalam perkembangan berasingan, Geohan mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 19.6 peratus kepada RM109 juta bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Pertumbuhan itu disumbangkan terutamanya oleh segmen perkhidmatan asas dan geoteknikal yang meningkat 24.6 peratus kepada RM106.3 juta, mewakili 97.5 peratus daripada jumlah hasil kumpulan.

Bagaimanapun, keuntungan selepas cukai bagi suku berkenaan berjumlah RM1.5 juta.

Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan, hasil meningkat 27.1 peratus kepada RM334.4 juta, manakala keuntungan selepas cukai direkodkan sebanyak RM2 juta. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini