Jualan kenderaan dijangka meningkat 1.2 peratus

Jualan kenderaan dijangka meningkat 1.2 peratus

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jumlah jualan kenderaan (TIV) dijangka meningkat sederhana sebanyak 1.2 peratus kepada 820,000 unit pada 2027 berikutan permintaan domestik yang kekal berdaya tahan serta pelancaran model baharu.

TA Research berkata, prospek pertumbuhan itu bagaimanapun berdepan cabaran berikutan asas jualan yang tinggi dan persaingan industri automotif yang semakin sengit.

Firma penyelidikan itu mengekalkan pendirian neutral terhadap sektor automotif, namun menaikkan unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi 2026 sebanyak 2.5 peratus kepada 810,000 unit berbanding 790,000 unit sebelum ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Semakan itu mengambil kira prestasi jualan yang lebih kukuh daripada jangkaan serta promosi jualan menjelang akhir tahun.

“Bagaimanapun, ketidaktentuan berhubung cadangan semakan rangka kerja duti eksais berdasarkan Nilai Pasaran Terbuka (OMV) bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) yang boleh mempengaruhi prospek industri turut diambil kira,” katanya dalam nota penyelidikan.

Berdasarkan data Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jumlah TIV bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026 meningkat 2.4 peratus kepada 673,412 unit berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, peningkatan itu didorong jualan kenderaan penumpang yang naik 3.6 peratus kepada 630,461 unit, sekali gus mengimbangi penyusutan 12.6 peratus jualan kenderaan komersial kepada 42,951 unit.

“Sementara itu, pengeluaran kenderaan pada Oktober 2026 meningkat tiga peratus kepada 67,416 unit berbanding tempoh sama tahun lalu, disokong pertumbuhan dalam segmen kenderaan penumpang.

“Sebaliknya, pengeluaran kenderaan komersial mencatatkan penurunan lima peratus.

“MAA menjangkakan momentum peningkatan jualan berterusan pada November, disokong prospek ekonomi yang positif serta promosi jualan menjelang penghujung tahun,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini