Jualan EV bukan nasional susut 6.6 peratus, Proton e.MAS terajui pasaran - Utusan Malaysia

Jualan EV bukan nasional susut 6.6 peratus, Proton e.MAS terajui pasaran

PROTON e.MAS 7
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penggunaan kenderaan elektrik (EV) meningkat dengan ketara diterajui oleh rangkaian e.MAS keluaran Proton, manakala jualan kenderaan penumpang bukan nasional terus berdepan tekanan apabila susut 6.6 peratus kepada 18,728 unit pada Ogos lalu.

BIMB Securities Sdn. Bhd. berkata, kenderaan EV merekodkan pendaftaran bulanan sebanyak 8,833 unit pada bulan Ogos dan kadar penembusan pasaran mencecah 11.4 peratus daripada jumlah volum industri, diterajui oleh Proton e.MAS.

Firma pembrokeran itu berkata, e.MAS keluaran Proton mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran dengan penguasaan mencecah paras bersejarah 54 peratus (4,770 unit), manakala Tesla mengatasi BYD untuk menduduki tempat kedua bagi Ogos.

“Pengeluar kenderaan nasional terus menguasai sebahagian besar jumlah pasaran, manakala pengguna semakin beralih kepada model tempatan yang ditawarkan pada harga kompetitif serta kenderaan jenama China.

“Perodua merekodkan penghantaran sebanyak 29,422 unit pada Ogos, susut 7.6 peratus bulan ke bulan dan 8.1 peratus tahun ke tahun, dengan penurunan didorong oleh Bezza yang merosot 14.3 peratus bulan ke bulan, walaupun permintaan kukuh terhadap Axia meningkat 13 peratus bulan ke bulan.

“Sementara itu, pendaftaran Proton pada Ogos melonjak 18.4 peratus bulan ke bulan kepada 20,141 unit, dengan bahagian pasaran sebanyak 28.2 peratus, sekali gus merapatkan jurang dengan Perodua,” katanya dalam nota penyelidikan.

Menurut BIMB Securities, pendaftaran kenderaan komersial pula mengalami sedikit penyusutan sebanyak 3.1 peratus berbanding bulan sebelumnya, selepas aktiviti besar-besaran bagi memperbaharui dan menambah baik kenderaan yang didorong oleh pelaksanaan subsidi diesel Budi Madani berakhir.

Jelasnya, pihaknya kekal positif tapi berhati-hati terhadap sektor automotif Malaysia, dengan tumpuan utama kini beralih daripada pertumbuhan jumlah keseluruhan industri (TIV) kepada peralihan bahagian pasaran dan pengeluaran EV tempatan.

“Proton kekal sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan segmen kenderaan nasional, didorong peningkatan kukuh jumlah jualan S70 serta peluasan jenama e.MAS 5.

“Sementara itu, Perodua menunjukkan momentum bulanan yang semakin baik menerusi pelarasan harga strategik walaupun jumlah jualan kumulatifnya lebih rendah berbanding tahun lalu,” ujarnya.

Menurutnya, jenama automotif asing tradisional berdepan tekanan yang semakin meningkat daripada pengeluar kenderaan nasional serta pengeluar peralatan asal (OEM) China yang berkembang pesat.

“Dorongan kerajaan ke arah pengeluaran EV secara pemasangan tempatan (CKD), disokong insentif cukai sehingga 2027, dijangka memanfaatkan pengeluaran tempatan dan mengukuhkan kedudukan daya saing OEM yang mempunyai barisan model EV yang semakin berkembang.

“Kami mengekalkan unjuran TIV 2026 sebanyak 790,000 unit berikutan jumlah jualan pada Ogos yang sederhana dari segi pertumbuhan bulan ke bulan dan tahun ke tahun, manakala jualan kumulatif industri kekal berdaya tahan dan berada dalam lingkungan jangkaan kami,” jelasnya.

BIMB Securities mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap sektor berkenaan dengan saranan saham yang tidak berubah, iaitu ‘beli’ bagi Sime Darby dengan harga sasaran (TP) RM2.60, serta ‘pegang’ bagi MBM Resources dengan TP RM5.28 dan Bermaz Auto dengan TP RM0.88. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×