BINTULU: Seramai 15 wanita di Bintulu kini berpeluang meneroka sumber pendapatan baharu menerusi penanaman Golden Melon, buah premium bernilai tinggi yang diusahakan dengan bimbingan Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS).
Melalui projek komuniti itu, sebanyak 300 pokok Golden Melon ditanam dalam rumah pelindung tanaman, manakala peserta terdiri daripada suri rumah, pesara, petani dan peniaga kecil dibekalkan kemahiran untuk mengusahakan tanaman secara berdikari.
Dengan harga jualan sasaran sekitar RM23 sebiji, Golden Melon dilihat mempunyai potensi pasaran yang baik. Bagaimanapun, pendapatan sebenar peserta masih belum dapat ditentukan kerana buah kini dalam proses pembesaran dan belum dituai.
Menjelang Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-50, inisiatif berkenaan turut mencerminkan peranan universiti dalam membawa ilmu dan hasil penyelidikan keluar dari kampus untuk dimanfaatkan masyarakat, khususnya melalui pemerkasaan wanita dan pengeluaran makanan tempatan.
Kerjasama ini juga menjadi ruang pemindahan ilmu apabila kepakaran dan inovasi penyelidik diterapkan dalam kegiatan harian komuniti, sekali gus mendekatkan hasil penyelidikan universiti dengan keperluan sebenar masyarakat setempat.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan UPMS, Ts. Dr. Shiamala Devi Ramaiya berkata, projek itu memberi tumpuan kepada latihan amali supaya peserta bukan sekadar memahami teori, sebaliknya mampu mengurus tanaman dengan yakin.
“Matlamat utama projek ini adalah untuk memberikan peluang kepada golongan wanita mempelajari teknologi dan teknik penanaman tanaman bernilai tinggi, khususnya Golden Melon yang mempunyai potensi pasaran yang baik.
“Lebih penting, kami mahu peserta mempunyai keupayaan untuk mengurus tanaman sendiri, daripada peringkat penyediaan hingga pengeluaran hasil, serta melihat pertanian sebagai salah satu peluang untuk menjana pendapatan,” katanya.
Projek Pemerkasaan Wanita melalui Penanaman Golden Melon Bernilai Tinggi ke Arah Kelestarian dan Keterjaminan Makanan itu menerima pembiayaan RM40,000 daripada All-Party Parliamentary Group Malaysia on Sustainable Development Goals (APPGM-SDG).
Dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Cawangan Bintulu, projek yang bermula Julai lalu merangkumi aktiviti utama sehingga November ini, sebelum diteruskan dengan pemantauan selama enam bulan hingga Mei 2027.
Sepanjang pelaksanaan, peserta mengikuti lapan siri latihan melibatkan penyediaan media tanaman, penyemaian benih, penanaman, pembajaan, kawalan perosak dan penyakit, cantasan, pendebungaan serta pemilihan dan penjagaan buah.
Latihan turut meliputi kaedah penuaian, pengendalian selepas tuai dan penghasilan produk berasaskan melon agar peserta dapat melihat peluang perniagaan bukan sahaja melalui jualan buah segar.
Menurut Shiamala, ramai peserta pada awalnya menggunakan tanah yang tersedia tanpa mengetahui komposisi media tanaman yang sesuai atau keperluan penjagaan tanaman secara terancang.
Kini, mereka sudah mempelajari penggunaan sistem pengairan titis automatik, teknik pembajaan dan pendebungaan serta cara mengenal pasti masalah tanaman sebelum menjejaskan pengeluaran hasil.
“Mereka juga mempelajari cara menghasilkan baja organik seperti kompos, Organic Plant Booster (OPB) dan baja daripada kulit telur menggunakan bahan yang mudah diperoleh,” katanya.
Bagi menggalakkan pertanian mampan, peserta turut diperkenalkan kepada pengurusan perosak bersepadu menggunakan perangkap pelekat kuning, semburan minyak neem dan pemeriksaan tanaman secara berkala.
Setakat ini, penggunaan racun kimia belum diperlukan kerana masalah perosak masih dapat dikawal melalui pemantauan rapi. Sistem pengairan titis pula membantu menyalurkan air dengan lebih teratur dan mengurangkan pembaziran.
Shiamala berkata, perubahan paling jelas setakat ini bukan keuntungan jualan, sebaliknya peningkatan pengetahuan, keyakinan dan sikap bertanggungjawab peserta terhadap tanaman yang mereka usahakan.
“Hampir setiap hari, saya menerima gambar perkembangan tanaman melalui kumpulan WhatsApp. Jika terdapat masalah, mereka akan terus menghubungi saya untuk mendapatkan pandangan.
“Ini menunjukkan mereka bukan lagi sekadar menerima ilmu, tetapi sudah mula mengambil tanggungjawab terhadap tanaman yang diusahakan,” katanya.
Selain buah segar, peserta didedahkan kepada potensi menghasilkan aiskrim, dadih, gula-gula dan sabun berasaskan Golden Melon sebagai produk nilai tambah, tertakluk kepada kesesuaian dan permintaan pasaran.
Beliau berkata, beberapa peserta juga menyuarakan hasrat meneruskan penanaman di kebun masing-masing selepas program berakhir, sekali gus memberi petunjuk awal bahawa kemahiran yang dipelajari boleh dimanfaatkan dalam jangka panjang.
Fasa berikutnya akan memberi tumpuan kepada penuaian, penilaian kualiti buah, pengendalian selepas tuai dan kaedah pemasaran bagi menilai potensi sebenar tanaman sebagai sumber pendapatan tambahan.
“Keterjaminan makanan bukan hanya bergantung pada pengeluaran berskala besar, tetapi turut memerlukan penyertaan komuniti dalam menghasilkan makanan sendiri dengan memanfaatkan ilmu, teknologi dan sumber yang tersedia,” katanya.
Shiamala berharap kegiatan penanaman itu dapat diteruskan secara berkumpulan oleh peserta PPWS Cawangan Bintulu selepas tamat pembiayaan dan diperluas ke kawasan lain mengikut kemampuan serta kemudahan setempat.
“Bagi saya, kejayaan projek ini bukan sekadar melihat Golden Melon mula berbuah, tetapi menyaksikan peserta semakin yakin, berkemahiran dan berdikari,” katanya. – UTUSAN








