PETALING JAYA: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan perlumbaan Petronas Grand Prix of Malaysia 2026 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.
Mengiringi baginda ialah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengerusi SIC, Datin Anita Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif.
Turut bersama baginda ialah Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Rahimi Ismail.
Penganjuran Grand Prix Motosikal Malaysia 2026 (MotoGP) kali ini menyaksikan persaingan sengit barisan pelumba terbaik dunia, khususnya ketika saingan kejuaraan memasuki fasa penentuan dengan hanya berbaki dua pusingan terakhir musim ini.
Antara acara tumpuan ialah Perlumbaan Tissot Sprint MotoGP yang berlangsung pada sebelah petang, menjadi medan penting buat para pelumba mengutip mata berharga bagi memperkukuh kedudukan masing-masing dalam kejuaraan dunia.
Selain kelas premier MotoGP, para peminat sukan permotoran turut berpeluang menyaksikan aksi kompetitif kategori Moto3, Moto2 serta Idemitsu Asia Talent Cup yang mengetengahkan bakat-bakat muda berbakat dari rantau Asia, termasuk pelumba negara.
Petronas Grand Prix of Malaysia kekal sebagai antara acara sukan permotoran utama negara yang berjaya menarik kehadiran peminat dari dalam dan luar negara, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi penting dalam kalendar perlumbaan MotoGP dunia. -UTUSAN











