Hakim Danish buru petak depan

Hakim Danish buru petak depan

Muhammad Hakim Danish Ramli menjalani latihan bebas kelas Moto3 menjelang Petronas Grand Prix of Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang, semalam. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli semakin yakin dengan prestasinya selepas kembali menemui rentak bersama jentera, sekali gus memasang impian untuk memburu petak hadapan pada sesi kelayakan Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia, hari ini.

Pelumba berusia 19 tahun yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu menunjukkan perkembangan positif apabila mencatat masa keempat terpantas pada sesi latihan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), semalam.

Malah, Hakim Danish tidak berselindung meletakkan sasaran untuk merebut petak pertama (pole position), namun mengakui perlu terus bekerja keras sekiranya sasaran itu tidak kesampaian.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Untuk petak hadapan, saya cuba menyasarkan untuk mendapatkan pole position (petak pertama). Namun, kalau tiada rezeki, saya akan terus bekerja keras,” katanya selepas sesi latihan di SIC, semalam.

Hakim Danish berkata, dia berasa lebih selesa dengan jentera berbanding dua atau tiga pusingan perlumbaan terdahulu yang menyaksikan dirinya bergelut untuk mendapatkan prestasi terbaik.

“Sudah tentu, perasaan saya lebih baik berbanding dua atau tiga pusingan perlumbaan sebelum ini yang mana saya agak bergelut. Hari ini saya sudah mendapat rentak saya semula,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi jentera, anak kelahiran Terengganu itu mengakui masih terdapat ruang untuk penambahbaikan, terutama dari segi cengkaman ketika mengambil selekoh berkelajuan tinggi.

Justeru, dia akan berbincang dengan pasukan dan meneliti data bagi mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki sebelum menghadapi sesi kelayakan.

“Dalam latihan tadi, saya bergelut dengan cengkaman ketika mengambil selekoh berkelajuan tinggi.

“Saya perlu berbincang semula dengan pasukan, meneliti data dan mengenal pasti bahagian yang boleh ditingkatkan pada jentera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini