Diuji kanser payudara selepas rawat lebih 5,000 pesakit

Diuji kanser payudara selepas rawat lebih 5,000 pesakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selama ini, Dr. Melissa Tan Ley Hui menjadi tempat pesakit mendapatkan rawatan, nasihat dan semangat dalam menghadapi kanser payudara.

Namun, selepas disahkan menghidap penyakit itu pada Mei lalu, beliau pula menerima sokongan daripada pesakitnya, termasuk kiriman bunga dan doa.

Pakar bedah payudara onkoplastik di Prince Court Medical Centre (PCMC) itu tidak pernah menyangka akan melalui pengalaman sama seperti pesakitnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lebih mengejutkan, beliau tidak mempunyai sejarah kanser payudara dalam keluarga.

“Sepanjang kerjaya, saya sudah merawat lebih 5,000 wanita yang disahkan kanser payudara, tetapi tahun ini, untuk pertama kalinya, saya menjadi pesakit.

“Reaksi awal saya, tidak mungkin. Saya pakar bedah payudara, masakan saya boleh menghidap penyakit ini?

“Tetapi apabila saya berfikir semula, kenapa tidak? Saya juga manusia dan wanita biasa. Kanser payudara boleh menyerang sesiapa sahaja, termasuk doktor,” katanya kepada Seri baru-baru ini.

Kanser itu dikesan secara tidak sengaja pada payudara kirinya ketika Dr. Melissa melakukan pemeriksaan ultrabunyi.

Pemeriksaan itu bertujuan untuk mengetahui keadaan payudaranya sebelum menjalani terapi penggantian hormon (HRT) bagi mengurangkan gejala perimenopaus yang dialami.

Katanya, urutan saringan yang betul sepatutnya dimulakan dengan mamogram, diikuti ultrabunyi.

“Saya berusia 47 tahun dan mengalami gejala perimenopaus seperti kitaran haid tidak menentu, rasa panas secara tiba-tiba, pertambahan berat badan, gangguan tidur serta kekakuan sendi, sebab itu, saya bercadang untuk memulakan HRT.

“Tetapi sebelum memulakan sebarang rawatan hormon, saya mahu mengetahui keadaan payudara terlebih dahulu dan dengan akses kepada alat ultrabunyi, saya melakukan pemeriksaan sendiri.

“Kalau saya tidak memeriksanya ketika itu, mungkin saya tidak menyedari kewujudan kanser tersebut kerana saiznya terlalu kecil untuk dikesan melalui sentuhan dan tidak menyebabkan rasa sakit,” katanya.

Terkejut dengan penemuan itu, beliau segera menjalani biopsi dan disahkan menghidap kanser tahap satu berukuran tujuh milimeter (mm), daripada subjenis Luminal A yang kurang agresif.

Tetap rasa takut
Pengalaman merawat ribuan pesakit kanser payudara tidak menjadikan Dr. Melissa kebal daripada rasa takut dan bimbang apabila dirinya berdepan penyakit itu.

“Saya masih ingat dengan jelas saat melihat benjolan itu pada skrin alat ultrabunyi dan serta-merta, tahu ia adalah kanser.

“Jantung saya berdegup sangat kencang sehingga saya dapat merasakan denyutannya.

“Walaupun ilmu perubatan membantu saya memahami apa yang perlu dilakukan, tetapi dari segi emosi, saya tetap manusia biasa. Perasaan itu tidak berubah hanya kerana saya seorang doktor,” katanya.

Pengesanan awal membolehkan anak jati Sabah ini mendapatkan rawatan segera dan kini dalam proses pemulihan.

Antara prosedur yang dijalaninya ialah pembedahan pemuliharaan payudara dengan biopsi nodus limfa sentinel dan radioterapi intrabedah (IORT).

Beliau turut mengambil pil terapi hormon antiestrogen setiap hari untuk tempoh lima tahun.

Dalam masa sama, Dr. Melissa mengamalkan pemakanan sihat, bersenam sekurang-kurangnya 150 minit seminggu dan melakukan latihan rintangan bagi mengurangkan risiko kanser berulang, selain menjaga kesihatan tulang dan jantung.

Disebabkan kansernya sensitif kepada hormon, beliau tidak boleh menjalani HRT, sebaliknya, mengambil vitamin D dan ubat kolesterol mengikut keperluan kesihatannya.

Beliau menegaskan, rawatan kanser bukan sekadar menangani penyakit itu, tetapi turut merangkumi penjagaan kesihatan tulang, jantung dan kualiti hidup pesakit.

Bekerja selepas hari kedua pembedahan
Di sebalik penyakit yang dialami, doktor cekal ini tidak pernah berhenti memikirkan para pesakitnya.

Dr. Melissa kembali bekerja pada hari kedua selepas pembedahan, ketika lukanya masih berbalut.

Malah, pada hari kelima, beliau sudah ke bilik bedah untuk mengendalikan pembedahan pesakit.

“Kerja adalah sebahagian daripada diri saya dan bekerja memberikan saya lebih kekuatan berbanding hanya berehat di rumah.

“Tambahan pula, ada janji temu pesakit yang tidak dapat ditangguhkan kerana mereka datang dari jauh, termasuk luar negara dan tarikh rawatan sudah diatur lebih awal,” katanya.

Dr. Melissa bersyukur kerana proses pemulihannya berjalan lancar dan cepat, namun mengakui pengalaman itu berbeza bagi setiap individu.

Beliau yang berkelulusan dari University of Birmingham pernah berkhidmat di City Hospital Birmingham sebelum kembali ke Malaysia kira-kira tiga tahun lalu.

Kepulangannya ke tanah air ditemani suaminya, pakar bedah plastik, rekonstruktif dan estetik, Dr. Kenneth Kok Lee Mun di samping anak tunggal mereka, Sophia, 10.

Lebih fahami emosi pesakit
Pengalaman menjadi pesakit turut memberinya perspektif berbeza terhadap perjuangan melawan kanser, yang selama ini dilihat dari sudut seorang doktor.

“Saya kini dapat merasai sendiri emosi pesakit, termasuk penantian, ketakutan, ketidakpastian dan rasa syukur mereka terhadap setiap individu yang hadir memberikan sokongan.

“Ini mengajar saya sesuatu yang tidak mungkin diperoleh daripada buku teks atau latihan semata-mata.

“Apabila bersama pesakit, saya bukan sekadar pakar bedah yang menerangkan diagnosis, tetapi juga seseorang yang pernah berada di tempat mereka,” katanya.

Beliau turut menyedari yang nasihat sahaja tidak mencukupi, sebaliknya pesakit memerlukan bimbingan dan sokongan secara langsung agar kembali yakin dengan tubuh sendiri.

“Contohnya, sebelum ini saya sering menasihati pesakit supaya mengurut parut pembedahan menggunakan salap silikon.

“Namun, saya sedar yang sesetengah pesakit mungkin takut untuk menyentuh luka mereka,” katanya.

Keluarga sumber kekuatan
Keluarga menjadi sumber kekuatan utama Dr. Melissa sepanjang berdepan kanser payudara.

Suaminya sentiasa berada di sisi sejak awal, malah menjadi individu pertama yang mengingatkannya supaya menjalani pemeriksaan.

Anak perempuan mereka, Sophia turut memberikan kata-kata yang menyentuh hati menerusi catatan di dalam diari.

“Sesuatu yang luar biasa berlaku hari ini, saya mendapat tahu ibu menghidap kanser payudara, tetapi ia sangat kecil dan ibu akan baik-baik sahaja.

“Selepas membaca diarinya, saya terdiam seketika dan bertekad untuk kembali sihat demi insan tersayang,” katanya yang turut mendapat sokongan ibu dan keluarga mentua sepanjang tempoh sukar itu.

Menyedari betapa pentingnya kesihatan, beliau kemudian menukar nama kumpulan WhatsApp keluarganya daripada Happiness kepada Health & Happiness.

“Kerana tanpa kesihatan, tiadalah kebahagiaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini