PETALING JAYA: Harga emas dunia diunjurmeneruskan penurunan sehingga mencecah AS$3,900 (RM15,813.33) seauns atau RM507.88 segram, susulan peningkatan tekanan inflasi di Amerika Syarikat (AS) yang mengukuhkan jangkaan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed).
Pada lewat petang semalam, harga emas susut kepada AS$3,993.40 seauns atau RM520.54 segram berbanding AS$4,059.60 seauns (RM532.07 segram) pada Khamis.
Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, perkembangan itu menyusuli data Indeks Harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS bagi September yang menunjukkan inflasi keseluruhan meningkat kepada 3.6 peratus tahun ke tahun berbanding 3.4 peratus pada Ogos.
“Inflasi teras PCE yang tidak mengambil kira harga makanan dan tenaga turut meningkat kepada 3.1 peratus berbanding tiga peratus sebelumnya.
“Keadaan itu meningkatkan kebimbangan pasaran terhadap hala tuju dasar monetari AS, khususnya selepas Fed mengekalkan kadar faedah pada paras 3.75 hingga 4.00 peratus dalam mesyuarat pada 28 Oktober lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau berkata, jangkaan pasaran terhadap kemungkinan kenaikan kadar faedah Fed pada Disember kini berada sekitar 74.9 peratus, sekali gus memberi tekanan kepada logam berharga itu yang tidak menawarkan pulangan faedah.
Dari sudut teknikal, harga emas berdepan paras sokongan utama pada AS$3,980 seauns dan berisiko menguji paras AS$3,942.50 sekiranya tekanan jualan berterusan.
“Sekiranya paras tersebut gagal dipertahankan, harga emas berpotensi susut lebih jauh menghampiri AS$3,900 seauns,” katanya.
Bagaimanapun, sebarang penurunan tekanan inflasi AS pada masa hadapan berpotensi mengubah jangkaan pasaran terhadap kadar faedah dan membuka ruang kepada pemulihan harga emas.
Tambahnya, logan berharga itu kini menuju penurunan bulanan kedua berturut-turut, sekali gus mencerminkan tekanan berterusan terhadap permintaan emas dalam persekitaran jangkaan dasar monetari yang lebih ketat.
“Tekanan sama turut dialami logam berharga lain apabila harga perak susut 2.1 peratus kepada AS$51.27 seauns, platinum turun 1.9 peratus kepada AS$1,458.85 seauns manakala paladium merosot dua peratus kepada AS$986.08 seauns.
Ketiga-tiga logam itu juga berada di landasan mencatatkan kerugian bulanan
“Tekanan terhadap harga emas semakin ketara apabila dua pegawai Rizab Persekutuan AS (Fed) mengundi menyokong kenaikan kadar faedah dalam mesyuarat pada Rabu,” tambahnya.
Menurut beliau, pada Khamis, data ekonomi AS pula menunjukkan pertumbuhan ekonomi lebih pantas, tekanan inflasi lebih kukuh serta tuntutan awal pengangguran kekal di bawah 200,000 untuk minggu keenam berturut-turut.
“Perkembangan itu meningkatkan kemungkinan Fed menaikkan kadar faedah pada Disember, sekali gus memberi tekanan kepada harga emas,” katanya. – UTUSAN











