PETALING JAYA: Misi serampang dua mata menjadi buruan Speedy Tigers apabila turun menentang juara bertahan, India pada aksi final Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Stadium Gifu, hari ini dengan emas dan tiket automatik ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 menjadi sasaran.
Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Brendon Carolan bagaimanapun mahu anak buahnya melupakan tekanan terhadap dua sasaran besar itu dan sebaliknya memberikan sepenuh tumpuan kepada perancangan taktikal bagi menumbangkan pasukan pilihan tersebut.
“India adalah pasukan pilihan dan mereka sebuah pasukan hoki yang sangat bagus. Mereka juga menghasilkan keputusan yang baik dalam saingan Pro League.
“Kami sedar akan cabaran itu, tetapi apa yang boleh kami lakukan adalah memastikan persiapan taktikal berada pada tahap terbaik dan beraksi tanpa tekanan,” kata Carolan dalam video yang dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia.
Kejayaan menewaskan Korea Selatan 2-1 pada separuh akhir, kelmarin membuka peluang buat Malaysia memburu emas Sukan Asia buat kali pertama sejak hoki dipertandingkan pada 1958, selain menempah tiket automatik ke Olimpik Los Angeles 2028 sekiranya muncul juara.
India pula mara ke final selepas menundukkan Pakistan 4-3 untuk menempah pertemuan dengan Speedy Tigers dalam aksi penentuan emas.
Carolan menyifatkan kejayaan mara ke final sebagai perkembangan positif buat skuad negara selepas melalui kempen kurang memberangsangkan pada Piala Dunia, Ogos lalu.
“Saya gembira dengan pemain dan pencapaian ini adalah satu peningkatan berbanding Piala Dunia. Matlamat kami adalah untuk memenangi kejohanan ini.
“Kami sudah berada di final dan kini perlu membuat persiapan sebaik mungkin sebelum memberikan segala-galanya di atas padang,” ujarnya.
Bagaimanapun,Malaysia belum pernah memenangi pingat emas sejak hoki dipertandingkan di Sukan Asia pada 1958.
Malaysia turut memiliki kenangan manis menentang India apabila menewaskan gergasi Asia itu menerusi penentuan penalti shoot-out dalam separuh akhir edisi 2018 apabila kedua-dua pasukan terikat 2-2 sebelum Speedy Tigers menang 7-6.
Namun, berdasarkan 10 pertemuan terakhir, kemenangan itu kekal sebagai satu-satunya kemenangan Malaysia ke atas India, selain keputusan seri 3-3 pada Piala Asia 2022 dan 0-0 dalam Trofi Juara-Juara Asia 2018.
“Kepada semua yang memberikan sokongan positif sepanjang tiga bulan lalu, terima kasih kerana terus bersama kami mengharungi saat suka dan duka. Para pemain amat menghargai sokongan itu.
“Saya juga berharap mereka yang sebelum ini mengkritik pasukan dapat memberikan sokongan positif kepada pasukan ini,” ujar Carolan. – UTUSAN











