Trio boling pertahan pingat emas kali keempat berturut-turut

Trio boling pertahan pingat emas kali keempat berturut-turut

(DARI kiri) Izz Naqiuddin Putera Islahuddin, Timmy Tan dan Syafiq Ridhwan Abdul Malek mengungguli perlawanan akhir selepas menyempurnakan 4,193 jatuhan pin. - IHSAN MTBC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad trio lelaki mengekalkan dominasi Malaysia apabila memenangi pingat emas buat kali keempat berturut-turut pada Kejohanan Tenpin Boling Asia 2026 di Doha, Qatar, kelmarin.

Timmy Tan, Izz Naqiuddin Putera Islahuddin dan Syafiq Ridhwan Abdul Malek yang mewakili Malaysia 2 mengungguli saingan selepas menyempurnakan 4,193 jatuhan pin.

Pasukan kebangsaan yang mendominasi acara trio lelaki sejak edisi 2019 di Kuwait turut membolot pingat perak menerusi trio Malaysia 1 yang diwakili Rafiq Ismail, Tun Hakim Tun Hasnul Azam dan Muhammad Hazim Alihanafiah dengan 4,114 jatuhan pin.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pingat gangsa pula menjadi milik Korea Selatan yang membariskan Ryou Ho Jun, Han Jae Hyeon dan Kang Myung Jin setelah melakukan 4,083 jatuhan pin.

Timmy berkata, kejayaan tersebut agak beremosi untuknya kerana kali terakhir dia memenangi pingat emas adalah tiga tahun lalu.

“Kami bermula baik semalam (hari Isnin) dan hari ini (kelmarin) perancangan permainan kami adalah untuk cuba kekal tenang, memandangkan pasukan negara lain turut menghadirkan tekanan kepada kami.

“Tetapi mujur kami berjaya juga akhirnya dan terima kasih kepada rakan sepasukan, dan juga keluarga di tanah air,” katanya sewaktu ditemu bual selepas perlawanan berakhir, kelmarin.

Izz Naqiuddin pula melahirkan perasaan bangganya kerana ini merupakan pingat emas pertamanya pada Kejohanan Asia dan sebelum ini, dia hanya memenangi perak.

Sementara itu, pasukan trio wanita yang dibarisi Faten Najihah Ahmad Faik, Gillian Lim dan Sin Li Jane terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas mencatat 3,930 jatuhan pin, hanya satu pin memisahkan mereka dengan pemenang pingat emas.

Korea Selatan yang diwakili Baek Seung Ja, Paek Ye Dam dan Nam Hye Bin mengungguli cabaran tersebut dengan 3,931 jatuhan pin, manakala, gangsa dimenangi satu lagi trio Malaysia, Adelia Nur Irwan Syazalee, Nur Syazwani Sahar dan Nora Lyana Nastasia Norkamall yang melakukan 3,862 jatuhan pin.

Ini bermakna Malaysia menutup aksi pada edisi tahun ini dengan membawa pulang tiga pingat emas, empat perak dan satu gangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini