RAKYAT sebenarnya tidak meminta sesuatu yang luar biasa daripada pemerintah. Mereka mahu kehidupan yang lebih baik, pendapatan mencukupi, pekerjaan stabil, perkhidmatan awam yang berkesan serta masa depan yang lebih terjamin untuk keluarga.
Pada masa sama, mereka mengharapkan kerajaan yang mendengar keluhan dan bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah.
Tugas mentadbir negara pula bukan mudah. Bantuan yang diberikan mungkin dianggap tidak mencukupi, manakala dasar baharu pula boleh dilihat membebankan.
Jika tiada perubahan, kerajaan dikatakan tidak bekerja. Dalam keadaan seperti ini, penilaian terhadap pentadbiran perlu dibuat secara adil berdasarkan kemampuan kewangan, keadaan ekonomi dan hasil yang dicapai.
Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan kadar kemiskinan mutlak menurun daripada 6.2 peratus pada 2022 kepada 5.1 peratus pada 2024.
Kadar inflasi tahunan turut menurun daripada 1.8 peratus pada 2024 kepada 1.4 peratus pada 2025. Angka ini menunjukkan perkembangan positif, namun tidak bermakna kesulitan rakyat sudah selesai.
Harga barangan tetap dirasai dalam perbelanjaan harian dan golongan berpendapatan rendah masih memerlukan perhatian.
Kerajaan juga perlu dilihat bukan sekadar melalui bantuan tunai. Peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan, pendidikan berkualiti, kemudahan kesihatan dan infrastruktur yang baik lebih penting untuk membina kehidupan yang kukuh dalam jangka panjang.
Rakyat memerlukan bantuan ketika susah tetapi pada masa sama perlu diberi ruang untuk berdikari.
Dalam hal ini, kritikan terhadap kerajaan memang penting tetapi mestilah berasaskan fakta dan cadangan yang boleh dilaksanakan. Kesusahan rakyat tidak wajar dijadikan bahan untuk meraih sokongan politik.
Menjanjikan segala-galanya mudah, sedangkan melaksanakannya memerlukan peruntukan, perancangan dan tanggungjawab.
Menyokong kerajaan juga bukan bermaksud menutup mata terhadap kelemahan. Jika berlaku kelewatan, ketirisan atau urusan yang menyusahkan rakyat, teguran perlu dibuat. Sebaliknya, pencapaian yang baik juga wajar diiktiraf tanpa dipengaruhi sentimen politik.
Akhirnya, rakyat memerlukan kerajaan yang bekerja, pemimpin yang jujur dan pentadbiran yang amanah. Persaingan politik sepatutnya tertumpu pada usaha memperbaiki kehidupan rakyat, bukan memperbesarkan perpecahan.
Kuasa ialah amanah dan rakyat tidak sepatutnya menjadi mangsa kepada cita-cita peribadi sesiapa. –UTUSAN
AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN
Tokoh Guru Kebangsaan











